02 Februari 2012

Pengundi Cina sokong PAS, MCA jangat buat sibuk

9 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Feb: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyarankan MCA supaya tidak perlu ‘sibuk-sibuk’ membuat kenyataan berkenaan sokongan pengundi Cina terhadap PAS.

Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan berkata, tetapi MCA perlu menyedari kemampuan parti mereka sendiri untuk menarik semula sokongan pengundi Cina kepada mereka.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen, Naib Presiden MCA di dalam akhbar Sinar Harian hari ini yang menyebut bahawa sokongan masyarakat Cina kepada PAS adalah bersifat sementara sahaja dan mereka hanya berpura-pura menyokong PAS kerana parti itu tidak boleh dipercayai.

“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menganggap kenyataan Dr. Ng sebenarnya adalah hasil daripada rasa takut MCA melihat perkembangan mutakhir ini yang memperlihatkan sokongan masyarakat pengundi bukan Melayu khususnya orang-orang Cina semakin cenderung dan tertarik dengan PAS itu sendiri,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, berkemungkinan Yen Yen hanya mendapat maklumat daripada ‘pengampu-pengampu’ yang cuba membodek beliau sahaja, bak kata pepatah Melayu ‘kalau tiada angin bertiup masakan pokok boleh bergoyang’.

Oleh itu, katanya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menasihatkan MCA supaya ‘mengkoreksi diri sendiri’ dan perlu merasa ‘gerun’ dengan sokongan terbuka masyarakat Cina kepada PAS dan Pakatan Rakyat kerana MCA dan Barisan Nasional sudah tidak boleh diharapkan lagi oleh rakyat khususnya masyarakat Cina.

Harakah Daily

Tiada ulasan: