21 Februari 2012

Kelantan tambah pendakwah untuk orang Asli

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 21 Feb: Bagi menjaga akidah Orang Asli yang telah memeluk Islam sentiasa terjaga agar tidak mudah diganggui oleh fahaman lain, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), telah menambah enam orang lagi pendakwahnya.

(Ustaz Mohamad Mustafa menyampaikan rekplika kunci motor iaitu salah satu kit alat bantuan dakwah kepada Muallim Jaheaik.)
Dengan pertambahan itu, kesemua pendakwah yang bertugas di lima penempatan Orang Asli kini berjumlah 18 orang.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Ustaz Muhammad Mustapha berkata, sebelum ini seramai 12 orang bagi menyampaikan dakwah Islam berterusan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kursus Asas Pengurusan dan Dakwah serta penyampaian kit alat bantuan dakwah kepada muallim Jaheaik.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Pengarah Jaheaik (Bahagian Koperasi) Ustaz Mohd Salleh Mat Jusoh dan Ketua Penolong Pengarah (Dakwah) Ustaz Hasnan Ramli.

Sambungnya lagi, kesemua 18 orang pendakwah yang sebahagian besarnya masih bujang itu akan tinggal di sana selama tiga minggu dan seminggu pulang bercuti.

“Dengan adanya pendakwah kita di sana mereka akan mengikuti pengajian Islam secara terperinci dengan membaca al-Quran, kelas fardhu ain dan berbagai lagi termasuk mempelajari solat,”ujarnya.

Sementara itu sebanyak RM50,000 diperuntukkan untuk membiayai perlatan bantuan dakwah seperti motosikal, computer riba, projektor, kelengkapan jenazah dan berbagai lagi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: