21 Februari 2012

Padah rasuah pegawai JPJ

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 atau penjara empat bulan terhadap seorang peniaga selepas mengaku salah memberi rasuah, tahun lalu.

A Krishnan, 42, dituduh memberi suapan sebanyak RM100 kepada seorang Pembantu Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai dorongan tidak mengeluarkan saman ke atasnya kerana gagal memakai tali pinggang keledar.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di laluan pintu masuk Malaysia/Singapura di Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuaratin, Bangunan Sultan Iskandar, di sini, sekitar jam 4 petang, 20 Mei 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pada prosiding berkenaan, Krishnan yang memakai kemeja lengan pendek berwarna merah sekadar mengangguk faham seterusnya mengaku salah atas kesalahan dilakukan ketika kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim, Mohd Nasir Nordin.

Bagaimanapun, tertuduh ada mengemukakan rayuan agar hukuman yang bakal dijatuhkan ke atasnya dapat diminimumkan berikutan kesalahan dilakukan adalah kali pertama seterusnya berjanji tidak mengulangi pada masa akan datang.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ridzuan Abdul Malik, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: