21 Februari 2012

Warung musnah, kereta rosak

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Rutin perniagaan sebuah gerai yang beroperasi di hadapan sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini bertukar tragedi apabila warung berkenaan musnah dalam kebakaran­, semalam.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 9 pagi itu turut mengakibatkan kerosakan dua kenderaan yang diletakkan berhampiran.

Barangan perniagaan juga musnah apabila tidak sempat diselamatkan disebabkan api marak dengan cepat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sentul Zahari Mohd berkata, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Jinjang dan Gombak Selatan dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira jam 9.38 pagi.

“Hanya sebuah gerai yang didirikan sementara terlibat, daripada siasatan awal, kebakaran itu berpunca daripada aktiviti memasak yang dilakukan dan kebocoran gas yang berlaku menyebabkan api marak dengan cepat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, disebabkan kejadian itu juga, kenderaan yang diletakkan berhampiran turut terbakar.

Bagaimanapun katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Sinar Harian

Tiada ulasan: