21 Februari 2012

Polis tumpaskan sindiket curi kenderaan, 12 suspek ditahan

28 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Polis menumpaskan satu sindiket curi kenderaan bernilai jutaan ringgit, yang dipercayai aktif sejak 10 tahun lepas, dengan tertangkapnya 12 suspek dalam serbuan berasingan di Selangor dan Perak pada Khamis dan Jumaat lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki berusia antara 22 dan 33 tahun di belakang sebuah pasar raya di Rawang ketika kesemua mereka cuba mencuri sebuah lori pada 16 Feb lepas.

Beliau berkata polis kemudian memeriksa kenderaan dinaiki suspek dan menemui pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk mencuri seperti pemutar skru, gunting, playar, wayar yang diubah suai dan 'test pen'.

"Susulan tangkapan itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 25 tahun kira-kira 4 pagi pada 17 Feb lepas di Sabak Bernam yang membawa kepada serbuan di sebuah premis di Kampung Air Putih, Simpang di Perak pada hari sama," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Tun Hisan berkata dalam serbuan di premis itu, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan serta empat lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 18 dan 50 tahun, yang dipercayai anggota sindiket curi kenderaan terbabit.

Polis turut merampas 1,040 pintu lori, 1,101 enjin lori, 102 enjin kereta, 128 buah kenderaan jenama tempatan, 30 kepala lori, tiga buah lori, tiga bahagian hadapan kereta, dan beberapa kunci lori.

Kesemua nombor casis enjin telah dikikis bagi mengelak dikesan pihak berkuasa namun polis akan menggunakan khidmat forensik untuk mengesan nombor casis asal enjin berkenaan, katanya.

Tun Hisan berkata sehingga kini, polis mendapati kes terawal yang membabitkan sindiket itu adalah laporan kecurian sebuah lori pada 1999.

Berikutan itu, katanya polis meminta supaya seorang lelaki dikenali sebagai R. Muniandy, 38, iaitu pemilik premis berkenaan supaya tampil membantu siasatan kes itu.

Menurutnya premis berkenaan terletak di atas tanah persendirian di kawasan terpencil sebuah ladang kelapa sawit dan beroperasi tanpa lesen dari pihak berkuasa.

Polis juga masih menyiasat modus operandi sindiket berkenaan namun siasatan awal mendapati sindiket itu mencuri kenderaan di parkir, menyamun dan merampas kenderaan daripada pemilik, katanya.

Tun Hisan berkata kesemua suspek ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai supaya membuat laporan kepada polis sekiranya mendapati premis yang mencurigakan di kawasan perumahan mereka.- Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: