29 Mac 2012

Pas bantu 12 mangsa ribut

6 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

LEDANG – Nasib 12 mangsa ribut da­­lam kejadian 21 Mac lalu di Jalan Benteng, Kampung Sawah Ring, Bukit Gambir, dekat sini, terus mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Terbaru, Pas Dewan Undangan Negeri (Dun) Gambir tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu mengurangkan beban yang dihadapi mereka.

Pesuruhjaya Pas Negeri Johor, Da­tuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, bantuan tersebut juga adalah simbolik untuk menterjemahkan keprihatinan Pas dengan musibah yang berlaku di kawasan berkenaan.

Menurutnya, banyak kerugian yang terpaksa ditanggung mangsa berikutan kerosakan rumah yang dialami.

“Meskipun sumbangan yang diberi tidak seberapa, tetapi diharapkan ia dapat memberi sedikit kegembiraan kepada mereka.

“Pastinya bencana yang berlaku ini akan memberikan kesan trauma kepada mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, selain memberi sum­bangan, kunjungan itu juga bertujuan untuk memberi sokongan bagi mengembalikan semula semangat mangsa-mangsa.

“Ini kerana ada di antara mereka sudah alami kejadian ini sebanyak dua kali sejak tahun 2006.

“Kami tumpang gembira apabila mendapati rumah mangsa ribut sudah dibaiki sepenuhnya oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Jelasnya, Pas akan membantu semua rakyat yang ditimpa kesusahan tanpa mengira idealogi politik.

“Diharapkan mangsa ribut dapat bersabar dengan ujian yang berlaku dan berdoa agar bencana tersebut tidak berulang lagi,” katanya.

Salah seorang mangsa, Zaleha Yu­sak, 48, berkata, dia yang masih terkejut dengan kejadian yang berlaku itu tidak menyangka menerima banyak bantuan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi bantuan dan begitu prihatin dengan nasib kami sekeluarga.

Katanya, rumahnya antara yang paling teruk mengalami kerosakan yang mana keseluruhan bumbung rumahnya tercabut ditiup angin.

“Bagaimanapun saya sangat bersyukur kerana kesemua ahli keluarga terselamat,” katanya dengan nada gembira.

Sinar Harian

Tiada ulasan: