29 Mac 2012

Dua beradik ditetak gara-gara dendam

6 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JERTH - Dua beradik cedera di beberapa bahagian anggota badan akibat ditetak seorang lelaki menggunakan parang dalam satu kejadian di kampung Cabang Tiga, Jertih malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam kelmarin, mangsa berumur 28 dan 19 tahun itu cedera parah akibat tetakan tersebut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian itu berlaku di depan rumah mangsa di Kampung Cabang Tiga, Jertih apabila mereka yang berada di situ didatangi seorang lelaki dikenali, lalu menyerang mangsa menggunakan parang.

Menurutnya, kedua-dua beradik itu tidak sempat menyelamatkan diri ketika kejadian itu menyebabkan mereka cedera.

“Abang mangsa cedera di lengan kanan manakala adiknya luka di dahi, bahu dan bibir akibat tetakan itu,” katanya.

Kamaruddin berkata, kejadian itu disedari bapa mangsa yang sedang minum di kedai kopi berhampiran apabila diberitahu dua anaknya ditetak.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan dikejarkan ke Hospital Besut, sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Polis yang melancarkan gerakan memburu suspek akhirnya berjaya memberkas lelaki berusia 28 tahun itu tidak lama kemudian, di rumah mentuanya di Felda Tenang, Hulu Besut.

Kamaruddin berkata, siasatan mendapati, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau iaitu dua kes mendatangkan kecederaan dan satu kes lagi curi dalam bangunan.

Suspek kini ditahan reman untuk membantu siasa-tan dan motif kejadian dikatakan berpunca daripada perselisihan faham dan dendam.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Sinar Harian

Tiada ulasan: