29 Mac 2012

Najib perlu jelaskan rizab tunai Felda merudum

6 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mesti menjelaskan kepada rakyat mengapa rizab tunai Felda merudum sejak beliau mengambil alih penyeliaan badan itu, tegas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar).

"Dalam tahun 2001, rizab tunai Felda berjumlah sehingga RM4.5 bilion dan tiada hutang.

"Tahun ini, berdasarkan jawapan di Parlimen, rizab tunai Felda hanya berjumlah RM1.35 bilion," kata beliau.

Lebih mendukacitakan, kata Salahuddin, Felda berhutang pula sehingga RM6.5 bilion dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Semua ini berlaku sejak Najib mengambil alih penyeliaan Felda pada tahun 2005," katanya.

Bagaimanapun, kata Salahuddin, tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menyiasat kemerosotan drastik rizab tunai Felda yang penuh misteri itu selagi Barisan Nasional (BN) berkuasa.

"Rakyat khususnya para peneroka mesti menuntut satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat Felda dan semua anak syarikatnya serta menuntut supaya dilakukan audit kewangan dan pengurusan yang menyeluruh ke atas Felda dan semua anak syarikatnya, tetapi beranikah kerajaan BN melakukan perkara itu?" kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin yakin, jika Umno dan BN tidak lagi berkuasa, banyak yang boleh dilakukan untuk mengembalikan fungsi dan tujuan penubuhan Felda.

"Antaranya, kita boleh menubuhkan jawatankuasa terpilih Parlimen untuk mengkaji semula dan merangka hala tuju Felda dengan mengambilkira hasrat dan aspirasi setiap pihak yang berkepentingan seperti peneroka dan kakitangan Felda," kata beliau.

Beliau juga yakin, selagi Felda berada di dalam cengkaman kerajaan Umno dan BN, lebih banyak bencana akan menimpa lembaga kemajuan tanah itu.

"Sekarang nak senaraikan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) dengan tujuan-tujuan yang didakwa dan dihebohkan akan memanfaatkan kepentingan Najib dan Umno.

"Sedangkan, begitu banyak anak syarikat FGV yang rugi," katanya.

Menurut Salahuddin, Felda Global Ventures India rugi RM7,864,000 pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010.

Felda Global Ventures Indonesia pula dikatakan rugi sehingga RM6.2 juta pada tahun 2009, katanya.

Felda Global Ventures Kalimantan juga dikatakan rugi RM 3.09 juta pada tahun 2010, katanya lagi.

Selain itu, kata Salahuddin, Felda Global Ventures Livestock pula mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM7 juta setakat 31 Disember 2010.

Felda Global Ventures Middle East dikatakan rugi RM76.9 juta pada tahun 2009.

Felda Global Ventures North America rugi RM27 juta setakat 31 Disember 2010.

Felda Global Ventures Perlis pula rugi RM8 juta setakat 31 Disember 2010.

"Itu belum lagi diambil kira kesemua 43 anak syarikat Felda. Sejauh manakah laporan tahun syarikat-syarikat itu diumumkan?" Salahuddin mempersoalkan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: