29 Mac 2012

Kecewa dapati wang gaji lesap

6 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA KANGSAR - Hanya kerana satu panggilan telefon, seorang jururawat, Nor Haslina Ngah Awi, 41 tidak sempat merasa wang gaji yang lesap begitu sahaja daripada akaun simpanannya.

Nor Haslina berkata, kejadian berkenaan berlaku pada 25 Mac lalu dan ketika itu dia telah meminta suaminya, Mohd Jamili Ibrahim, 44 mengeluarkan wang daripada mesin autoteller (ATM) di sebuah bank, di sini.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh suami, dia tidak dapat mengeluarkan wang berkenaan kerana baki wang simpanan dalam akaun itu hanya RM10.73.

“Setelah dimaklumkan, saya bersama suami telah bergegas ke bank berkenaan untuk memeriksa penyata mini dan mendapati terdapat transaksi keluar sebanyak RM2,000 pada tarikh 22 Mac 2012,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Kandang Hilir, di sini, kelmarin.

Menurut Nor Haslina, dia dan Mohd Jamili tidak pernah membuat sebarang pengelua­ran wang pada tarikh berkenaan, yang juga tarikh kemasu­kan gajinya.

Katanya, pengeluaran wang berkenaan dipercayai dilakukan melalui perbankan Internet dan dia mendakwa pernah menerima satu panggilan dari sebuah syarikat telekomunikasi gergasi pada Disember tahun lalu.

“Panggilan berkenaan memaklumkan saya telah memenangi wang tunai sebanyak RM5,000 dan saya diminta ke mesin ATM serta mengikut segala arahan yang diberikan.

“Saya rasa panggilan itu ada kaitan dengan kehilangan wang saya dan percaya ia dibuat oleh satu sindiket peni­puan­. Namun saya terkilan bila pihak bank enggan bertanggungjawab,” katanya.

Dia juga kesal kerana bank berkenaan tidak memberi penjelasan terperinci dan hanya memaklumkan perkara seumpama itu biasa terjadi serta tiada sebarang tindakan dapat dilakukan walaupun membuat laporan polis.

Sementara itu, Mohd Jamili memaklumkan isterinya telah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan di Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar dan mereka turut merasa kecewa apabila dimaklumkan sistem perbankan Internet tidak dapat dihentikan.

“Disebabkan kekecewaan dan tidak puas hati dengan penjelasan yang diberikan, isteri saya telah mengoyakkan buku bank serta menutup akaun berkenaan.

“Saya harap kejadian ini tidak lagi berlaku kepada orang lain,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: