24 April 2012

3 kereta dipecah cermin perbuatan penjenayah

2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG - Tiga kereta yang diletak di kawasan parkir Jalan Besar Bandar Lama, di sini, pecah cermin sebelah penumpang depan dipercayai perbuatan penjenayah awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku lingkungan jam 1 pagi ketika pemiliknya termasuk seorang guru dan penyewa sebuah hotel bajet masing-masing nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan perkara itu.

Bagaimanapun, pemilik kereta tersebut yang membuat pemeriksaan selepas mengetahui kejadian berkenaan tidak berlaku kehilangan barang yang disimpan dalam kenderaan masing-masing.

Menurut seorang pemilik sebuah kereta tersebut yang tidak mahu disebut namanya, dia dikejutkan penjaga hotel lingkungan jam 1.30 pagi sebelum bergegas melihat cermin keretanya pecah.

Beliau berkata, sebaik tiba dekat kereta mendapati beberapa individu termasuk anggota polis berkawal di situ manakala mereka yang disyaki melakukan perbuatan tersebut menghilang diri.

“Saya turut melakukan pemeriksaan dalam kereta, tetapi tidak ada barang yang hilang dan mungkin penjenayah itu belum sempat masuki kereta apabila terserempak dengan pengguna lain yang melalui kawasan tersebut. Lagi pun, saya tidak menyimpan barang berharga dalam kereta tersebut dan saya terpaksa menutup cermin kereta yang pecah itu dengan kain mengelakkan basah dimasuki air hujan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: