24 April 2012

Mansour puji Mancini, mahu kekal kendali Manc City

2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PEMILIK Manchester City, Sheikh Mansour menyatakan kegembiraan dengan pengurusan Roberto Mancini dalam mengendalikan pasukan itu.

Melihat Mancini seorang pengurus yang sesuai untuk membimbing kelab itu dalam usaha membantunya menjadi kelab terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL), Mansour menegaskan beliau akan terus kekal dalam mengendali kelab itu walaupun misi untuk memenangi gelaran EPL gagal kelak.

Mancini yang mengambil alih jawatan Mark Hughes sebagai pengurus pada Disember 2009 telah menunjukkan peningkatan yang positif dalam misi untuk memenangi gelaran EPL pertama sejak 1968.

Dalam satu kenyataan dipetik BBC, Monsour berkata: "Perbezaan tiga mata di belakang Manchester United tidak menggambarkan bahawa City tidak boleh mengejar The Red Devils, dan kami masih mempunyai peluang."

"Tetapi apa yang berlaku nanti sama ada menang atapun kalah, saya tetap gembira dan berpuas hati dengan pemain serta pihak pengurusan," kata Mansour.

Tambah Mansour, prestasi City yang cemerlang dalam memenangi enam perlawanan daripada tujuh turut menunjukkan satu peningkatan yang baik.

"Mereka telah menunjukkan satu prestasi yang sangat baik dan saya berharap mereka akan menjadi lebih baik menjelang baki tiga perlawanan nanti," katanya.

Sejak 2008, Monsour telah membelanjakan sebanyak £1 bilion dalam melakukan perubahan sekali gus menjadikan kelab itu sebagai kelab terkaya di dunia.

Sinar Harian

Tiada ulasan: