24 April 2012

Mohammad Shafee wakili kerajaan atau Najib?

2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mempertikaikan kenyataan Peguam Datuk Mohamad Shafee Abdullah yang menimbulkan persoalan tanpa menjawab isu-isu pokok.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, akhirnya Mohamad Shafee tampil memberi reaksi terhadap isu beliau menghantar surat kepada hakim-hakim memohon penangguhan kes ekoran misi sulit di luar negara.

"Malangnya penjelasan beliau terhadap isu tersebut adalah mengarut langsung tidak menjawab isu pokok malahan mengundang lebih banyak persoalan.

"Sepatutnya sebagai seorang peguam yang handal beliau perlu menjawab sama ada beliau ada menghantar surat bertarikh 23 Mac 2012 kepada Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya memohon penanggunah kes mulai 1 April hingga 25 April 2012," jelas Saifuddin pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Tambahnya lagi, peguam itu juga perlu menjelaskan adakah beliau juga ada memberi salinan surat kepada Perdana Menteri yang dialamatkan pejabat Perdana Menteri termasuk kepada Datin Seri Rosmah Mansor dialamatkan Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Menurut Saifuddin lagi, Mohamad Shafee perlu menjawab sama ada beliau ada menyatakan di dalam surat tersebut bahawa beliau telah dilantik oleh kerajaan Malaysia untuk menguruskan suatu tugasan sulit di luar negara yang mesti diselesaikan sebelum pilihan raya umum berlangsung.

"Banyak yang perlu jawab oleh peguam tersebut, adakah dalam tempoh 1 April hingga 25 April beliau benar-benar telah berada di New York, London, Dubai, Paris dan Basel atau beliau sebenarnya berada di Australia untuk menghadiri persidangan undang-undang seperti mana surat beliau kepada hakim bertarikh 9 April 2012.

"Mohamad Shafee hanya perlu menjawab jika benar beliau ada berkunjung ke Paris seperti mana beliau nyatakan dalam surat itu, adakah ianya mempunyai kaitan dengan perbicaraan kes pembelian kapal selam Scorpene yang turut membabitkan Perdana Menteri yang dinamakan sebagai saksi," tambahnya lagi.

Sehubungan itu, PKR menuntut Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri tampil segera memberi penjelasan adakah benar kerajaan Malaysia melantik Mohamad Shafee sebagai peguam mewakili kerajaan walhal tugas itu sepatutnya dilaksanakan Peguam Negara atau Najib dan isteri sebenarnya melantik beliau sebagai peguam peribadi.

"Sekiranya Mohamad Shafee tidak dilantik oleh kerajaan Malaysia, tidak juga sebagai peguam peribadi serta tidak berada di tempat-tempat yang dinyatakan sepertimana alasan memohon dalam surat beliau, Najib perlu membuat aduan kepada Majlis Peguam agar tindakan dapat diambil ke atas beliau.

"Jika Najib terus berdiam diri, maka PKR memohon kepada Majlis Peguam untuk merujuk Mohamad Shafee sebagai satu kes pelanggaran disiplin," sambungnya lagi.

Saifuddin berpendapat jika dengan surat itu membawa kepada kejayaan peguam tersebut mendapat penangguhan kes sudah tentulah kesahihan surat tersebut adalah benar dan tidak boleh dipertikaikan lagi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: