24 April 2012

Kijang janji saingan sengit

2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KELANTAN menjanjikan tentangan sengit apabila turun bertemu wakil Vietnam, Navibank Saigon dalam perlawanan kelima peringkat kumpulan H kempen Piala Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Thong Nhat, di sini petang ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, walaupun kehilangan khidmat Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi yang terpaksa disisihkan ekoran masalah kecederaan ketika bertemu Kedah dalam aksi separuh akhir Piala FA tempohari, namun itu tidak menjejaskan persiapan pasukannya.

“Kita kehilangan Mohd Badhri (Radzi) tetapi saya tidak ada masalah mencari pengganti beliau. Indra Putra (Mahayuddin) akan mengemudi jentera tengah Kelantan berdasarkan pengalaman luas dimilikinya,” katanya dalam sidang media di sini pagi semalam.

“Pertemuan ini pasti sengit kerana kedua-dua pasukan sememangnya memerlukan kemenangan bagi mencerahkan peluang ke pusingan kedua. Memang kita mengharungi minggu yang memenatkan tetapi saya berharap itu tidak menjejaskan aksi pemain di sini.

“Saya lihat pasukan lawan mempunyai kekuatan di bahagian tengah dan kita harus menyekat pergerakan pemain mereka. Kalau itu mampu kita lakukan, saya fikir kita tidak ada masalah untuk meraih tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya.

Menurut pengendali dari Croatia itu, kemenangan itu cukup penting bagi mengukuhkan kedudukan Kelantan sebelum menghadapi Ayeyawady United dari Myanmar pada perlawanan terakhir di Kota Bharu pada 8 Mei ini.

Pertemuan Navibank Saigon menentang Kelantan akan berlangsung jam enam petang waktu tempatan di sini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Navibank Saigon, Pham Cong Loc berkata, barisan pemainnya tidak akan memberi laluan mudah kepada Kelantan untuk menewaskan mereka di tempat sendiri.

“Sama seperti Kelantan, kami juga mahu memenangi perlawanan ini. Kami tidak mahu menyempitkan laluan kerana hanya kemenangan sahaja dilihat menjamin peluang kami untuk ke pusingan kedua,” katanya.

Untuk rekod, selepas empat perlawanan, Kelantan, Navibank Saigon dan Ayeyawady United masing-masing kini berkongsi tujuh mata namun dibezakan dengan jumlah jaringan bolos.

Sinar Harian

Tiada ulasan: