24 April 2012

Orang Asli mati tergantung

2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Seorang remaja berusia 19 tahun dari perkampungan Orang Asli Hutan Percha, di sini, ditemui mati tergantung di sebatang pokok manggis oleh adik dan abang iparnya di sebuah dusun berhampiran rumah mereka, di sini, kelmarin.

Mayat mangsa ditemui kira-kira pada jam 8 pagi ketika dalam usaha mencari mangsa yang dikatakan hilang selepas seharian keluar rumah.

Abang ipar mangsa berusia 31 tahun, berkata, mangsa keluar rumah sendirianjam 4 petang dan disedari seorang saudara namun tidak bertanya ke mana mangsa pergi.

“Mangsa keluar rumah dengan berjalan kaki dan menuju ke arah dusun buah-buahan yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah.

“Semasa dia keluar, tiada siapa berada di rumah. Sehingga jam 8 malam, kelibatnya masih tidak kelihatan dan kami hanya mengandaikan dia keluar bersama rakan lain,” katanya.

Menurutnya, kehilangan mangsa disedari pada jam 12 tengah malam namun bercadang mencarinya pada keesokan hari berikutan keadaan sekeliling gelap tanpa mencurigai perkara buruk berlaku ke atas mangsa.

“Kebiasaannya mangsa akan pulang ke rumah selewat-lewatnya jam 10 malam. Keesokan paginya, saya dan adik ipar keluar mencarinya kerana merasakan dia tidak berada jauh dari rumah,” katanya.

Katanya, sebaik tiba di dusun, dia dan adik mangsa terkejut melihat mayat mangsa dalam keadaan tergantung menggunakan tali tambat kambing di belakang rumah mereka.

Menurut abang ipar mangsa, adik iparnya itu disifatkan seorang yang pendiam dan tidak gemar bercerita sekiranya tidak mempunyai masalah dengan adik-beradik. Malah tidak tahu menahu jika mangsa mempunyai masalah peribadi dengan orang lain.

“Mangsa tidak bergaduh dengan kami adik-beradik tetapi tidak tahu pula sekiranya dia ada perselisihan faham dengan mana-mana rakan tanpa pengetahuan kami kerana dia seorang yang begitu suka menyimpan rahsia.

“Sehari sebelum kejadian, mangsa tidak menampakkan sebarang perubahan pelik,” katanya terkejut dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, mengesahkan penemuan mayat remaja berkenaan, kelmarin.

“Mangsa yang merupakan anak keempat daripada tujuh beradik ditemui tergantung pada tali tambat kambing kira-kira jam 8 pagi di sebatang pokok manggis dalam keadaan terkulai dan pucat kebiruan dan kejadian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya, semalam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: