24 April 2012

Keluarga Shahrizat masih kutip bayaran lumayan

2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: PKR hari ini mendedahkan bahawa keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil masih lagi mendapat bayaran bulanan yang lumayan biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan aset NFC telah dibekukan.

Menurut Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli beliau mendapat bukti terbaru iaitu berhubung dua premis utama operasi NFC di alamat L-3A, No. 2, Jalan Solaris, Solaris Mont Kiara dan restoran mewah Meatworks di alamat 2G 3A, Jalan Solaris 5, Solaris Month Kiara.

Beliau juga berjaya mendapatkan rekod hakmilik dan nilaian kedua-dua hartanah dari carian rasmi dengan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

Ianya merupakan empat unit ruang pejabat yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutu di Tingkat 3A, Jalan Solaris dimiliki bersama oleh Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan anaknya Wan Izanur Izran.

Salah satu unit iaitu Unit L-3A-3A berjaya dipadankan dengan carian harta di JPPH atas nama Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang dibeli pada harga RM814,550.

"Semakan pembayaran dari rekod kewangan NFC pula menunjukkan bahawa pada setiap bulan, NFC akan membuat dua pembayaran sewa pejabat seperti berikut, RM28,000 setiap bulan kepada Wan Shahinur Izran dan RM8,240 setiap bulan kepada Datuk Seri Mohamad Salleh," katanya pada sidang media hari ini.

Dua pengarah NFC ini kata Rafizi telah menyalahgunakan wang syarikat dengan mendapatkan pinjaman bank bagi hartanah yang kemudiannya disewakan kembali kepada syarikat.

Rafizi memberitahu, bayaran sewa yang dikutip oleh Mohamad Salleh iaitu RM8,240 sebulan bagi ruang pejabat bernilai RM814,550 adalah terlalu tinggi.

"Jika pembelian ini dibiayai dengan pinjaman selama 25 tahun pada kadar faedah semasa, bayaran bulanan dianggarkan sekitar RM4,800 sebulan.

"ini bermakna Mohamad Salleh membuat keuntungan 72 peratus setiap bulan, iaitu kadar keuntungan yang terlalu tinggi dari wang rakyat," kata beliau lagi.

Sehubungan itu, PKR katanya akan membuat laporan polis susulan berikutan pendedaham ini agar Wan Shahinur Izran dan Mohamad salleh disiasat atas kemungkinan pecah amanah dalam urusan sewa beli hartanah yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutunya di Month Kiara.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula mempersoal langkah kerajaan sebelum ini kononnya telah membekukan semua aset NFC termasuk melantik sebuah firma perakaunan juga telah dinamakan dan dilantik oleh kerajaan bagi mengambil alih pengurusan.

"Dengan apa yang didedahkan hari ini, dua langkah yang diumumkan oleh kerajaan dalam parlimen sekarang menimbulkan tandatanya.

"Adakah ianya merupakan perkara biasa ataupun memang tidak ada sebarang tindakan diambil berkaitan berkenaan dengan pembekuan aset dan perlantikan firma perakuan sepertimana diumumkan, ini memerlukan penjelasan dari kerajaan," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: