24 April 2012

Remaja tak sempat rompak syiling

2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Empat lelaki, dua daripadanya adalah pelajar diberkas polis cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sekitar bandar Seremban, Negeri Sembilan, awal pagi semalam.

Mereka ditahan kerana cuba merompak syiling dalam mesin air suling di sebuah taman di Durian Tunggal.

Operasi berkenaan diketuai Inspektor Abd Rashid Idris, berjaya menahan empat remaja, dipercayai dari Seremban, yang melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, dua suspek menendang mesin air berkenaan untuk mengeluarkan syiling tetapi disedari seorang lelaki.

Menurutnya, mereka segera melarikan diri tetapi lelaki terbabit bertindak membaling topi keledar ke arah kereta dinaiki empat suspek berkenaan.

“Balingannya terkena cermin belakang kereta menyebabkan ia pecah.

“Polis berusaha menjejaki mereka berdasarkan alamat pendaftaran kenderaan tetapi suspek tiada di rumah sebelum operasi mengesan suspek dilakukan berhampiran Tesco Seremban Jaya, kira-kira jam 3 pagi, semalam,” katanya.

Umar Ali Saifuddin berkata, pihaknya cuba mengenal pasti kereta terbabit berdasarkan kesan pecah.

“Kami berjaya mengesan mereka selepas melihat kereta terbabit berhampiran sebuah pasar raya di Seremban Jaya.

“Suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan polis dan kami juga menemui sebilah kapak serta topi keledar milik saksi,” katanya.

Menurutnya, semua suspek berusia belasan tahun dan awal 20-an dibawa ke IPD Alor Gajah untuk siasat lanjut.

“Mereka direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 kerana cubaan mencuri,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: