12 April 2012

Budak enam tahun mati lemas

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - “Sedih dengan pemergian arwah. Danish amat rapat dan manja dengan saya. Tidak sangka hari ini dia pergi meninggalkan kami sekeluarga,” luah bapa kepada Mohd Danish Aqmal Aziz, 6, yang lemas selepas tergelincir dalam sungai Anak Sebulung di Kampung Melayu Majidee, di sini, semalam.

Aziz Tarmin, 34, yang bertugas sebagai polis bantuan peronda lebuh raya berkata, tiada sebarang perubahan yang disedari berlaku ke atas anak bongsu daripada tiga beradik itu sejak kebelakangan ini.

“Saya diberitahu oleh pihak ibu pejabat mengenai kejadian sekitar jam 5 petang. Saya bersama isteri segera bergegas pulang ke rumah, namun apa kan daya dia sudah tiada.

“Tiada sebarang perubahan yang berlaku ke atas dirinya. Dia (Danish) cuma kerap menghubungi untuk meminta saya agar menjemputnya di rumah Kampung Melayu Majidee ke rumah baru kami di Taman Sri Skudai.

“Hari Sabtu dan Ahad lalu, baru sahaja saya menjemputnya ke rumah di Taman Sri Skudai seperti yang dipinta. Tidak sangka pula berlaku kejadian seumpama ini dan dia sudah pergi meninggalkan kami,” katanya.

Aziz berkata, anak bongsunya itu kerap menghabiskan masa bermain pada waktu petang bersama anak keduanya, Mohd Danial Fitri, 9, di kawasan permainan berdekatan rumah.

“Ada juga saya atau isteri menasihatkan dia supaya tidak bermain jauh dari pandangan kami. Bagaimanapun, budak-budak, jika kita halang pun mereka akan keluar secara sembunyi,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Danial berkata, adiknya lemas selepas tergelincir ke dalam sungai Anak Sebulung ketika cuba untuk mengambil selipar yang terjatuh ketika hendak pulang ke rumah.

“Saya bersama adik hari-hari main di taman. Masa nak balik, selipar adik jatuh ke dalam parit besar dan dia mahu mengambil sebelum dia tergelincir. Saya ada cakap dengan dia supaya tidak ambil, tetapi dia cuba ambil juga.

“Ketika nampak adik sudah tenggelam di dalam air, saya jerit minta tolong. Ada beberapa orang datang untuk tolong tarik adik daripada lemas,” katanya.

Salah seorang penduduk, Zainal Abdul Hanan, 57, berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas diberitahu jirannya mengenai kejadian berkenaan seterusnya meminta belia kampung turut sama memberikan bantuan.

“Belia kampung yang ada segera turun ke sungai untuk menyelamatkan kanak-kanak ini. Sebaik sahaja berjaya mencapai kanak-kanak ini daripada terus lemas dan tenggelam ke dasar sungai, kami membawanya naik ke atas untuk melakukan sesuatu, namun gagal.

“Kami segera membawanya ke hospital untuk dirujuk kepada pakar perubatan di wad kecemasan, tetapi doktor mengesahkan kanak-kanak ini sudah tiada lagi dan meminta jenazah di bawa pulang ke rumah,” katanya.

Sementara itu, jawatankuasa penduduk di Jalan Utama Tengah, Kampung Melayu Majidee sudah beberapa kali mengusulkan cadangan kepada pemimpin setempat supaya kawasan sungai Anak Sebulung dipagar bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini.

Agency

Tiada ulasan: