12 April 2012

Pengutip duit kutu diragut, kerugian RM20,000

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang pengutip duit kutu mengalami kerugian hampir RM20,000 selepas beg tangan yang mengandungi wang tunai serta barangan berharga miliknya dilarikan peragut di Jalan Lundang di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, Rohana Majid, 44, yang menunggang motosikal bersama anaknya, Siti Nur Zirah Fauzi, 16, berhenti di tepi jalan untuk membuat panggilan telefon sebelum beg tangan Rohana yang diletakkan di dalam raga motosikal disambar seorang lelaki.

Rohana berkata, dia menyedari sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna putih dinaiki tiga lelaki berhenti tidak jauh dari lokasi mereka berdiri.

“Seorang daripada mereka turun dari kereta tanpa menutup pintu dan mengelilingi kami. Saya sangka dia hendak ke kedai makan tetapi tiba-tiba beg di dalam raga disambar. Kejadian terlalu pantas, saya hanya mampu menjerit, “beg aku! Beg aku! Pitih (duit) aku banyak!”

“Orang awam ada di tempat kejadian pun tidak sempat untuk berbuat apa-apa. Saya tidak sangka kejadian ini berlaku, lebih-lebih lagi penjenayah itu berpakaian kemas dengan baju kemeja lengan pendek seperti pekerja pejabat,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, anaknya sempat menarik beg yang dipegang pencuri tersebut, bagaimanapun, terpaksa melepaskannya bimbang diseret masuk ke dalam kereta.

“Dia (Siti Nur Zirah) sebelum itu mengalas beg berkenaan sebelum mendakwa beg itu terlalu berat dan meletakkannya di dalam raga motosikal. Lagi pun, ketika itu dia sedang bercakap dengan seorang peguam berkait urusan tuntutan insurans,” katanya yang juga seorang penjual sayur di Wakaf Stan, Binjai di sini.

Katanya, kejadian itu menyebabkan dia kerugian wang tunai RM15,000, rantai leher dan loket emas bernilai RM4,700 yang baru dibeli dan belum sempat dipakainya.

“Dalam beg itu ada tunai termasuk RM8,000 duit kutu yang sepatutnya diserahkan kepada dua orang rakan kelmarin. Duit untuk membaiki rumah RM4,000 dan duit-duit perniagaan selain kad pengenalan serta beberapa keping kad kredit turut dilarikan,” katanya.

Sebelum ini, Rohana pernah kerugian RM60,000 duit hasil perniagaan selepas beg berisi wang tunai yang diletakkan di dalam van berniaga dilarikan penjenayah, empat tahun lalu. Susulan kejadian kedua itu, mangsa membuat laporan polis di balai Pengakalan Chepa di sini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: