12 April 2012

Gempa: Kerajaan Pulau Pinang ucap terima kasih

20 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - GEORGETOWN, 12 April: Kerajaan negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada penggerak industri utama di Pulau Pinang kerana mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menangani kejadian gempa bumi di Pulau Sumatera, semalam. 

“Pejabat Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri telah saling berhubung dengan penggerak industri utama Pulau Pinang iaitu dari FMM, Frepenca dan Persatuan Hotel Pulau Pinang ketika kejadian,” ujar Ketua Menteri, Lim Guan Eng (gambar) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini. 

Katanya, kerajaan negeri ingin menambah di sini bahawa masyarakat umum harus mencontohi pengalaman penggerak industri itu yang saling berhubung untuk mengetahui perkembangan terkini gempa bumi melalui sumber-sumber rasmi dan tidak mendengar khabar angin. 

“Saya telah membatalkan kehadiran saya di Majlis Santapan Diraja di Istana Negara bersempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong untuk bergegas pulang ke Pulau Pinang,” katanya lagi. 

Menurutnya lagi, kerajaan negeri yakin bahawa gempa bumi yang berlaku di Indonesia tidak menyebabkan apa-apa impak serius kepada ekonomi umum Pulau Pinang. 

Tambahnya, terdapat beberapa gangguan kepada aktiviti-aktiviti umum di beberapa sektor pembuatan dan pelancong di hotel-hotel di pantai Pulau Pinang semalam, tetapi, tiada insiden besar dilaporkan. 

Justeru, ujarnya kerajaan negeri berterima kasih kepada penggerak industri yang sentiasa bersedia untuk berdepan situasi sedemikian. 

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga ingin menyatakan kebimbangan dengan khabar angin terutama di laman web sosial media bahawa Jambatan Pulau Pinang dan perkhidmatan feri telah ditutup ekoran gempa bumi di Sumatera. 

“Khabar angin ini adalah tidak benar dan bertujuan untuk mengganggu kesejahteraan ekonomi negeri yang sememangnya bergantung kepada pelancongan dan pembuatan,” ujarnya. 

Guan Eng menjelaskan sebarang penutupan Jambatan Pulau Pinang dan penamatan serta-merta perkhidmatan feri perlu mendapatkan perundingan daripada kerajaan negeri terlebih dahulu. Tambahnya lagi, tiada permintaan seperti itu dikemukakan kepada kerajaan negeri semalam. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan menambah, kerajaan negeri bersama-sama semua agensi kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan serta sektor swasta telah mewujudkan mekanisme dan pengurusan krisis untuk menangani sebarang kemungkinan berdepan amaran tsunami. 

“Mekanisme ini telah terbukti semalam dan tiada suasana cemas, jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri mampu menguruskan dengan cekap untuk mengendalikan tindak balas yang diperlukan seperti pengurusan krisis dan kecemasan ini,” katanya. Frepenca diwakili oleh Pengerusi, Heng Huck Leng yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Globetronics. 

Persatuan Pengusaha Hotel Pulau Pinang diwakili oleh pengerusinya, Mary Ann Harris dan Marco Bassistotti, Pengerusi Bersama Panel Perkhidmatan Industri. 

Harakah Daily

Tiada ulasan: