04 April 2012

Lelaki maut ditembak

12 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG –Seorang lelaki maut selepas terkena tembakan pada rahang kiri serta dada kiri dalam kejadian di jalan Sekolah Rendah Kebangsaan Khay Boon Rantau Panjang, pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, polis menerima panggilan memberitahu tentang penemuan mayat seorang lelaki dalam sebuah kereta jenis Wira berwarna merah di hadapan Musalla berdekatan Mydin Rantau Panjang kira-kira jam 11.30 pagi.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati semasa mangsa, Mohamad Nazuri Mohd Zain, 24, dari Kubang Panjang, Lemal bersama seorang rakan dalam perjalanan ke pekan Rantau Panjang dengan menaiki kereta tersebut, dipotong motosikal melalui sebelah kiri.

“Beberapa das tembakan dilepaskan dan terkena mangsa yang ketika itu berada di tempat duduk penumpang hadapan. Rakan mangsa yang juga pemandu kereta itu, Muhamad Sazuazi Saufi,27, kemudiannya memecut ke arah pekan Rantau Panjang dan berhenti di hadapan gerai menjual mee milik ibu mangsa,” katanya.

Jalaluddin berkata, kenderaan yang digunakan mangsa tidak mempunyai sebarang rekod sementara rakan mangsa luka pada bahagian tangan kiri.

Menurutnya, punca kejadian belum dapat dipastikan dan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut.

“Pihak polis akan menjalankan Ops Tutup dan hebahan kepada semua peronda MPV di samping mendapatkan maklumat awal dari rakan mangsa. Cawangan D8 dan D9 juga diarahkan untuk mengesan dan menangkap suspek terlibat,” katanya.

Jalaluddin berkata, polis juga akan membuat semakan ke atas telefon bimbit mangsa di samping menahan rakannya untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: