04 April 2012

PRU13: Mafrel gesa SPR laksana syor PSC

12 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 April: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menerima dan melaksanakan syor-syor yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya serta-merta sebelum pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) menegaskan di antara 22 syor yang dikemukakan itu, ada di antaranya boleh dilaksanakan serta-merta, seperti pembersihan daftar pengundi.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar), berkata selain soal daftar pengundi, syor bagi mengukuhkan kedudukan SPR juga perlu dilakukan segera sebelum pilihan raya umum.

"Ada beberapa syor yang memerlukan kajian atau pindaan undang-undang, ada juga syor yang boleh dilaksanakan serta-merta. Apapun, ia perlu dilakukan segera sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang menerima baik laporan jawatankuasa itu, bagaimanapun masih berpandangan tempoh kempen selama 10 hari yang dicadangkan PSC masih belum cukup, khususnya di luar bandar.

Katanya, dalam keadaan akses media yang tidak seimbang terhadap semua parti politik yang menyertai pilihan raya, tempoh 10 hari kempen itu dilihat agak singkat berbanding 21 hari yang dituntut ramai pihak, termasuk Bersih 2.0.

Biarpun soal akses media itu bukan berada di bawah kuasa SPR, badan itu masih boleh mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan untuk membenarkan penglibatan semua parti politik yang bertanding.

Sehubungan itu, Syed Ibrahim meminta SPR menyegerakan syor-syor yang boleh dilaksanakan serta-merta, selain membabitkan wakil parti-parti politik dan NGO-NGO berkaitan berhubung perkara-perkara yang memerlukan kajian dan penelitian.

Laporan PSC itu telah dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat, semalam, setelah jawatankuasa itu ditubuhkan enam bulan lalu.

Harakah Daily

Tiada ulasan: