04 April 2012

Samun kakak ipar, polis cari wanita bantu siasatan

12 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

NIBONG TEBAL - Polis sedang mencari seorang wanita untuk membantu siasatan kes samun di rumah kakak iparnya di Taman Cempaka, Batu Kawan yang menyebabkan kerugian hampir RM125,000.

Wanita terbabit, Zarina Begum Sujaudeen, 32, dan seorang lelaki yang tidak dikenali dipercayai dapat menyelesaikan kejadian samun yang berlaku kira-kira jam 8.50 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Shafien Mamat, berkata, dalam kejadian berkenaan, seorang suspek wanita bersama seorang lelaki tidak dikenali telah ke rumah mangsa yang berusia 45 tahun untuk meminta pertolongan selepas mendakwa kereta mereka rosak.

“Sebaik masuk ke dalam rumah, wanita terbabit telah menarik mangsa yang sedang tidur dan mengugut untuk mencederakannya sekiranya tidak memberi barangan berharga.

“Takut akan ugutan terbabit, mangsa telah menyerahkan dua telefon bimbit, sebentuk cincin, dua utas gelang, dua utas rantai emas di samping wang tunai RM2,500,” katanya.

Shafien memberitahu, alamat terakhir Zarina Begum ialah No 181, Jalan Bendahara, Happy Garden, Ipoh Perak.

“Selain mengugut dan menyamun, wanita terbabit turut mencederakan mangsa dengan menggunakan pemutar skru. Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Honda CRV milik mangsa.

“Mangsa mengalami kecederaan luka dan lebam di dahi, kepala, tangan serta leher dan masih dirawat di Hospital Sungai Bakap.

“Semasa kejadian, ibu mangsa yang berusia 62 tahun turut berada di rumah dan sedang tidur., namun tidak diapa-apakan.

“Bagi membantu menyelesaikan kes ini, saya memohon kerjasama orang ramai yang mengenali wanita berkenaan untuk tampil memberikan maklumat," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: