14 Mei 2012

Dipenjara 4 tahun akibat serang rakan

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Akibat gagal mengawal perasaan amarah terhadap rakannya semasa berbincang mengenai hutang lama, seorang buruh bertindak di luar kawalan apabila menyerang dengan mencederakan mangsa bersama adiknya menggunakan sebilah pedang.

Akibat perbuatannya itu, Muhamad Basri Shukri, 28, dari Pasir Puteh, Kelantan, menerima padah setelah dijatuhi hukuman empat tahun penjara dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hukuman berkenaan dijatuhkan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu kerana mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata dan mendatangkan kecederaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Izairi Ismail @ Shamsudin, 28, dengan menggunakan sebilah pedang di sebuah rumah di Cabang 3, Jertih, Besut, kira-kira jam 9 malam pada 27 Mac lalu.

Dengan itu, tertuduh mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, Muhamad Basri turut mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Firdaus, 19, di lokasi, tarikh dan masa sama.

Dengan itu, tertuduh mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan sekiranya disabitkan kesalahan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: