14 Mei 2012

Pesakit Tibi pulih dalam masa 6 bulan

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - Biarpun pada mulanya mengalami trauma dan tekanan emosi, tiga bekas pesakit Tibi akhirnya bebas daripada penyakit itu dalam tempoh enam bulan.

Pelajar tingkatan 5, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Nor Hidayu Abdullah, 17, mengakui berkat sokongan keluarga dan rakan selain kesabaran yang tinggi, dia sembuh sepenuhnya dalam tempoh berkenaan.

Menurutnya, dia mengalami Tibi Kelenjar menyebabkan wujud ketumbuhan pada lehernya setelah membuat beberapa kali pemeriksaan kesihatan.

“Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan saya mengidap Tibi Limpa, tetapi menasihatkan supaya jangan bimbang kerana penyakit itu boleh sembuh dengan meminta tidak berhenti makan ubat dari hospital,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menceritakan pengalamannya bersama dua lagi bekas pesakit sempena sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat Negeri.

Sementara itu, Nadia Mohd Fauzi, 26, berkata, dia mengalami penurunan berat badan secara mendadak diikuti demam di sebelah petang dan berpeluh dalam kuantiti yang banyak.

“Doktor mengesahkan saya mengidap sakit Tibi Paru-paru yang menyebabkan ruam di seluruh badan.

“Selain makan ubat saya juga menerima suntikan dalam badan selama dua bulan dan berkat kesabaran penyakit berbahaya ini sembuh dalam tempoh enam bulan saja,” katanya.

Shamsuddin Mat Nor, 49, mengalami batuk berterusan selama dua minggu dan doktor mengesahkan kahaknya dijangkiti kuman Tibi.

Dia yang juga seorang pekerja kampung dan bapa kepada dua anak turut berterima kasih keluarga serta masyarakat kerana bersimpati dengan penyakitnya.

“Saya ingin menasihatkan mereka jangan panik dan risau kerana penyakit itu boleh sembuh jika makan ubat mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Saya gembira kerana keluarga dan masyarakat sekeliling tidak menyisihkan saya sebaik saja sembuh dari penyakit Tibi,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: