14 Mei 2012

Latihan DBKL bercanggah RUU himpunan aman

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Mei: Latihan bagi penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menghadapi perhimpunan haram hanya dilihat sebagai bercanggah dengan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamed, berkata ini kerana dengan RUU tersebut, tiada istilah perhimpunan haram, sebaliknya sesiapa yang ingin berhimpun hanya perlu memaklumkan kepada pihak polis.

"Sekiranya penguatkuasa DBKL ditambah tugas, itu dalam bidang kuasa mereka. Tetapi apabila sebut tentang perhimpunan haram, ia bercanggah dengan RUU perhimpunan aman yang tiada istilah perhimpunan haram dan sebagainya," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, sekiranya penguatkuasa DBKL diberikan tugas atau latihan tentang pemantauan dan pengawalan sebarang perhimpunan, perkara itu memang disokong pihaknya.

Namun, katanya jika latihan itu hanya untuk menggalakkan sebarang bentuk kekasaran dan keganasan seperti pihak polis sebelum ini, perkara tersebut tidak boleh diterima.

"Lebih baik sekiranya anggota penguatkuasa ini diberi latihan bagaimana tugas mereka untuk memastikan sesuatu perhimpunan itu dapat dilangsungkan dengan aman, seperti mengawal dan memberi kerjasama sewajarnya bagi sesebuah perhimpunan itu," tambah Kamaruzzaman lagi.

Sebelum itu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengumumkan penguatkuasa DBKL akan dilatih secara khusus sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya perhimpunan haram pada masa hadapan.

Beliau dilaporkan berkata latihan secara khusus itu perlu kerana dalam senario terkini, kemungkinan lebih banyak perhimpunan haram akan diadakan dari semasa ke semasa, terutamanya di Kuala Lumpur.

Menurut Raja Nong Chik, perbincangan tentang latihan khusus itu telah diadakan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Harakah Daily

Tiada ulasan: