14 Mei 2012

Tahan seorang lelaki bantu siasatan kes tembak

22 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan terhadap kes dua lelaki ditembak mati dalam satu serangan di Jalan Datuk Bandar Tunggal, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya menahan lelaki berusia lingkungan 30-an itu di Taman Bukit Mutiara, di sini, sehari selepas kejadian.

“Lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 4 petang dan direman sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita percaya lelaki terbabit boleh membantu siasatan terhadap kes berkenaan,” katanya, semalam.

Menurutnya, pihaknya masih menyiasat motif kejadian dan mengenal pasti dua individu menaiki motosikal yang menembak mangsa hingga mati.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian juga akan diteliti bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Saiful Azly meminta orang awam atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerusi talian 06-6014999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua lelaki mati manakala dua lagi rakan parah selepas ditembak dua lelaki menaiki motosikal.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, semua lelaki yang berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu menaiki sebuah kereta pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat berdekatan sebuah stesen minyak di Jalan Datuk Bandar Tunggal, di sini.

Mangsa, R Chalidas, 29, dan G Surentharan, 31, masing-masing dari Jalan Rasah, Seremban dan Pasir Panjang, Port Dickson, disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Sinar Harian

Tiada ulasan: