19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Bayi perempuan 10 bulan yang diperlakukan ibunya seperti haiwan dalam rakaman video di laman web YouTube kelmarin disahkan sihat dan menjalani kehidupan ceria bersama keluarga angkatnya.
Pengarah Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Arfan Sulaiman berkata, bayi berkenaan kini dijaga keluarga angkat dan masih dipantau jabatan itu.
“Berdasarkan laporan pegawai, bayi perempuan terbabit berusia setahun 10 bulan, selamat dan serasi dengan keluarga angkatnya.
“Malah, dia lebih ceria dan tidak trauma seperti khabar angin yang disebarkan individu melalui laman sosial, Facebook dan Twitter,” katanya.
Menurut Arfan, pihak media tidak dibenarkan mengatur pertemuan dengan mangsa dan perlu mematuhi peruntukan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 601) bagi melindungi kepentingan dan kebajikan kanak-kanak selaras dengan obligasi negara di bawah Konvensyen Hak Kanak-kanak.
“Ketika ini, media tidak dibenarkan bertemu bayi berkenaan dan keluarga angkatnya juga enggan diganggu. Sekatan ini bagaimanapun hanya boleh dikecualikan oleh Mahkamah Bagi Kanak-kanak,” katanya.
Katanya, JKM turut meneliti secara serius isu penyebaran video penderaan bayi terbabit dalam YouTube dan Facebook, namun mendapati ia bukan kes baru.
“Saya tegaskan, sesiapa yang melakukan penderaan terhadap kanak-kanak boleh disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya.
“Justeru, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes sedemikian, mereka diminta menghubungi Talian Nur di 15999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera,” katanya.
metro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan