11 Mei 2012

Pecah rumah: 4 warga Amerika Latin ditahan

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

LEDANG – Empat warga Amerika Latin ditahan polis di dua lokasi berbeza pada 14 April lalu, dipercayai terbabit dalam melakukan jenayah di beberapa lokasi di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mereka terdiri daripada tiga warga Costa Rica dan seorang warga El Savador yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan curi motosikal pada 13 April lalu.

Menurutnya, dua lelaki berusia 31 dan 26 tahun ditahan kira-kira jam 11.45 malam oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Pedas, Negeri Sembilan.

“Penahanan mereka ekoran menerima laporan berkaitan kehilangan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss milik seorang wanita di rumahnya di Kampung Sialang, Tangkak.

“Dua lagi rakan mereka iaitu berusia 36 dan 46 tahun warga Costa Rica dan El Savador turut ditahan menerusi sekatan jalan raya dekat Jasin, Melaka, pada hari yang sama kerana terbabit dalam kegiatan pecah rumah di Taman Seri Tangkak, Tangkak pada 13 April lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, semalam.

Harun berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek menyewa rumah dan kereta di Kuala Lumpur, sebelum bergerak secara berasingan untuk melakukan jenayah di daerah ini.

“Ketika tangkapan, pihak polis berjaya menemui sebuah telefon bimbit berharga kira-kira RM1,500 yang disyaki dicuri daripada rumah mangsa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya meminta kerjasama daripada orang awam supaya dapat menghubungi pihak polis sekiranya terlihat warga Amerika Latin dalam keadaan mencurigakan berada di kawasan kampung atau perumahan mereka.

Sementara itu, Harun meminta kerjasama orang ramai untuk memberikan maklumat mengenai seorang lelaki iaitu Shafri Abd Rahman yang memiliki kad pengenalan bernombor 801222-04-5459 dan beralamat di Paya Rambai, Melaka.

Shafri dikehendaki hadir ke Mahkamah Sesyen, Muar pada 14 Mei ini untuk menjadi saksi bagi satu kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian

Tiada ulasan: