11 Mei 2012

Kutip kaki, cebisan daging

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PASIR MAS - Seorang adik sanggup mengutip cebisan daging dan kaki abangnya yang maut dalam kemalangan awal pagi kelmarin.

Kejadian di Kilometer 7, Taman Tengku Anis kira-kira jam 2 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohammed Fahrizal Zulkifli, 19, maut di tempat kejadian sementara pemandu kereta, Azzman Mohamad, 38, mengalami kecederaan.

Adik mangsa, Mohd Farizman, 16, berkata, ketika kejadian, dia minum bersama rakannya di sebuah kedai tidak jauh dari tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik menyedari berlakunya kemalangan, dia segera ke tempat kejadian dan tidak menyangka abangnya terlibat.

“Saya tidak tahu abang kemalangan, setelah melihat nombor pendaftaran motor baru yakin abang kemalangan. “Kaki abang putus, saya ambil kakinya yang berada tidak jauh dari badannya dan meletakkannya di situ dan turut mengutip cebisan daging di atas jalan,” katanya yang masih trauma dengan kejadian menimpa abangnya.

Mohd Farizman berkata, tindakan mengutip daging dan kakinya dilakukannya seolah-olah di luar sedar.

Menurutnya, selepas itu dia menjadi lemah.

Sementara itu, ibu mangsa, Norasyikin Mat Yaakob, 39, yang mengandungkan anak kelapan, tidak menyangka perubahan perangai arwah menjadi rapat dengan kesemua adik-adiknya merupakan petanda mereka sekeluarga akan kehilangannya.

Norasyikin berkata, anak sulung dari tujuh beradik itu selalunya rapat dengan anak kedua dan ketiganya sahaja.

“Kebiasaannya arwah tidak begitu, dia agak garang, tetapi menjadi mudah mesra dengan adik-adiknya,” katanya.

Norasyikin berkata, arwah juga turut menyuarakan hasrat mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya tetapi tidak memaklumkan namanya.
Menurutnya, dia yang merasakan arwah masih muda menasihatkannya supaya menangguhkan hasratnya itu|.

“Arwah juga memberitahu ayahnya supaya membelikan lori kerana dia hendak bekerja di rumah dan tidak mahu ke Kuala Lumpur, ”katanya.

Sementara itu, bapa mangsa Zulkifli Zakaria, 42, berkata, dua minggu sebelum meninggal dia melihat wajah anak sulungnya itu berseri-seri.

Menurutnya dia pasrah dengan ujian Allah yang mengambil anaknya dalam usia muda.

“Saya mewakili keluarga memohon maaf sekiranya arwah ada melakukan sebarang salah dan silap dan mohon dihalalkan segala-galanya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediaman orang tuanya di Serungga.

Mereka sekeluarga tidak pulang ke kediaman di PPRT berhampiran Taman Tengku Anis kerana banyak kenangan bersama arwah di rumah itu.

Jenazah selamat dikebumikan kira-kira jam 12 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Pulai, Repek, Pasir Mas.

Sinar Harian

Tiada ulasan: