11 Mei 2012

Sindiket tiga serangkai tumpas

19 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEPANG - Sindiket tiga serangkai, curi kenderaan, jual komponen dan dadah, yang berselindung di sebalik kuil di Jalan Meranti 9, Pulau Meranti, Putra Perdana di sini tumpas dalam serbuan, semalam.

Kumpulan ini menggunakan bangsal sebagai bengkel dan dibina antara dua kuil bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Dalam serbuan jam 12.30 tengah malam itu, tiga lelaki termasuk ketuanya, berumur lingkungan 30-an, diberkas ketika sedang berehat dalam bengkel tersebut.

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman berkata, semasa serbuan, polis menemui 11 kenderaan disyaki curi antaranya, Kia Spectra, Naza Citra, Nissan Sunny, Mercedes Benz, Honda Accord dan Proton Wira.

Katanya, lima kenderaan itu didapati dicuri di Kajang, Sungai Way, Sunway dan Cheras.

“Sindiket menjadikan kawasan ini sebagai tempat menyembunyikan kenderaan curi dan kita percaya bengkel ini digunakan untuk meleraikan komponen kenderaan.

“Kumpulan ini juga disyaki terlibat sindiket dadah berdasarkan penemuan pil kuda, eramin-5, syabu dan alat penimbang,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas parang, kerambit, serangkai anak kunci, telefon bimbit, walkie-talkie, komputer riba dan topeng kulit.

Katanya, semakan mendapati, salah seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dan baru dibebaskan daripada tindakan Ordinan Darurat 1969 di Simpang Renggam, Johor.

Imran berkata, kumpulan­ ini dipercayai mempunyai hubungan dengan sindiket lain.

Menurutnya, suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: