21 Mei 2012

Padah pukau orang kampung

29 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BALING - Dua lelaki yang dipercayai menggunakan ilmu pukau untuk mendapatkan barangan kemas milik penduduk menerima padah setelah mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Abdul Majid Manja, 54, dan rakannya, Rahmat Ambo Upa, 50, dituduh memperdayakan Zainab Abdul Rahman, 56, sehingga mangsa menyerahkan empat gelang tangan emas bernilai RM4,000 di Pekan Rabu di sini, pada 21 Disember tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh dipercayai meyakinkan mangsa untuk membuat pertukaran barangan kemas dengan wang loteri palsu kononnya bernilai puluhan ribu ringgit.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret menjatuhkan penjara 30 bulan kepada Wati Suparti, 32, yang mengaku salah memperdayakan dua penduduk kampung di sini sehingga mangsa mengalami kerugian hampir RM20,000 pada 14 Disember tahun lalu.

Modus Operandi yang digunakan Wati sama dengan cara yang digunakan oleh kedua-dua tertuduh, namun siasatan masih dilakukan untuk membuktikan mereka ada hubungan dengan Wati sebelum ini.

Difahamkan, perbuatan itu didalangi sindiket yang dianggotai rakyat tempatan dan luar negara bagi memperdayakan penduduk di seluruh negara.

Kumpulan itu dipercayai bergerak dalam kumpulan dan kebanyakan mangsa adalah warga emas.

Kebanyakan mangsa melaporkan mereka seolah-olah terpukau hingga sanggup menyerahkan wang tunai mahupun barangan kemas berharga ribuan ringgit.

Kedua-dua tertuduh yang kelihatan tenang itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Mohd Khairul Hafizzudin Ramli.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan lebih 10 tahun, sebat dan dan denda.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Jun sebagai sebutan semula kes.

Sinar Harian

Tiada ulasan: