21 Mei 2012

Tahniah kepada Datuk Fauzi

29 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Fauzi Shaari, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia kerana telah menyertai PAS dengan disaksikan oleh Presiden PAS dan Timb. Presiden PAS di Perak.

Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad berkata, DPPWP melihat tindakan Datuk Fauzi ini merupakan salah satu rentetan episod kepada ramainya tokoh-tokoh terulung negara yang berbondong-bondong menyertai perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat.

Tambahan pula, beliau merupakan salah seorang pemimpin tinggi di dalam PDRM.

Sebelum ini, katanya, Datuk Ramli Yusuff yang juga bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM menyatakan sokongan beliau terhadap Pakatan Rakyat.

"DPPWP melihat ini merupakan suatu tanda kepada kebangkitan ramainya pemimpin-pemimpin di kalangan PDRM menyertai Pakatan Rakyat," katanya.

Bagi beliau, sudah sekian lama, polis ditindas dan dijadikan alat UMNO/Barisan Nasional untuk mempertahankan legasi kepimpinan yang penuh dengan salah guna kuasa dan kezaliman.

Beliau juga menyeru kepada semua anggota polis untuk bangkit bersama seluruh rakyat untuk menolak sebuah kerajaan yang zalim dan membelakangkan hak rakyat.

"DPPWP juga menyeru semua tokoh-tokoh dan pimpinan masyarakat di semua peringkat untuk bersama-sama PAS dan Pakatan Rakyat untuk membina negara Malaysia yang lebih baik dan berkebajikan untuk semua warga rakyat," katanya.

Kemasukan ramai tokoh-tokoh penting negara membuktikan UMNO/BN kini bukan lagi pilihan untuk rakyat Malaysia, apatah lagi kini semakin banyak isu moral dan salahlaku pemimpin di kalangan UMNO/BN, tambahnya.

"Semoga kemasukan tokoh-tokoh ini akan dapat menarik lebih ramai rakyat untuk bersama PAS dan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan kerajaan UMNO/BN yang semakin bongkak menafikan hak rakyat," tambah beliau.

Harakah Daily

Tiada ulasan: