21 Mei 2012

Percutian bertukar tragedi

29 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BANDARAYA MELAKA - Percutian seorang remaja bertukar tragedi apabila dia maut selepas terlibat kemalangan di Jalan Sungai Udang, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa, Muhammad Aliff Salim, 17, terbunuh apabila motosikal ditungganginya terbabas sebelum digilis sebuah treler datang dari arah sama.

Mangsa yang berasal dari Batu 16 Sungai Plong, Sungai Buloh, Selangor dikatakan sedang berkonvoi bersama rakannya dan dipercayai sedang menuju ke sebuah chalet di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menurut sumber, mangsa ketika menunggang melalui jalan Tangga Batu menghala pekan Sungai Udang terjatuh lalu digilis treler dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah parah di bahagian kepala .

Bapa mangsa, Salim Bakri, 53, berkata, dia dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh isterinya yang menghubunginya ketika sedang bekerja di sebuah kilang di Sungai Buloh, kira-kira 7.15 malam kelmarin, seterusnya bergegas ke Melaka.

"Anak saya ada memberitahu hendak bercuti bersama rakan-rakannya di Port Dickson dan saya mengizinkan. Malah, saya dapat tahu mereka juga telah menempah chalet di sana untuk dua malam.

"Cuma saya sedikit terkilan sebab arwah yang baru tamat tingkatan lima sedang menunggu surat tawaran untuk belajar di sebuah kolej dalam bidang kejururawatan," katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.

Salim berkata, dia bagaimanapun reda dengan permergian anak sulungnya yang manja dan berperangai kebudak-budakan, namun begitu mendengar kata.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan menerima laporan kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian

Tiada ulasan: