21 Mei 2012

Piala Thomas: Usah perlekeh Afrika

29 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JANGAN terlalu yakin! itu pesanan buat skuad badminton negara yang diletakkan selaku pasukan pilihan dalam kumpulan C, peringkat akhir Piala Thomas di Wuhan, China yang bermula hari ini.

Diundi bersama Afrika Selatan dan Denmark, Malaysia dilihat tidak bermasalah mara ke peringkat seterusnya.

Membuka tirai saingan bertemu Afrika Selatan bukan jalan selamat buat pasukan negara, kerana pastinya mereka hadir dengan tonik berbeza terutama bertemu barisan pemain negara yang diterajui pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Sedar dengan tugas berat menanti mereka hari ini, pemain perseorangan daripada pasukan tunggal Afrika dalam kejohanan ini, Jacob Maliekal berkata, sasaran pasukannya untuk menimba pengalaman dan belajar daripada pemain ranking teratas dunia seperti Chong Wei dan bintang China, Lin Dan.

“Secara realistiknya, kami bukan pasukan kuat dan objektif kami di sini untuk bertahan selama mungkin dalam kejohanan dan menimba pengalaman bermain dengan pemain utama dunia,” katanya.

Beliau yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) bersama pemain negara, Muhammad Hafiz Hashim dan beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mempunyai kelebihan kerana mengetahui serba sedikit corak permainan termasuk kelemahan dan kekuatan pemain negara.

Justeru, pemain negara perlu lebih berwaspada dan tidak memandang rendah keupa­yaan lawan meskipun pasukan yang hanya diwakili empat pemain iaitu Maliekal, Prakash Vijayanath, Willem Viljoen dan Dorian Lance James adalah pasukan yang berada di ranking ke-23 dunia.

“Malaysia mempunyai Lee Chong Wei yang merupakan seorang pemain berwibawa, manakala Denmark mempunyai barisan pemain lebih berpengalaman,” katanya yang mengakui pasukan negara dan Denmark mempunyai kekuatan seimbang untuk muncul juara kumpulan.

Saingan utama seterusnya menentang pasukan Denmark, skuad negara perlu menang untuk bergelar juara Kumpulan C, sekali gus mengelak pertembungan dengan seteru utama, China di suku akhir.

Selain Chong Wei dan Hafiz, perseorangan negara turut diperkuatkan pemain muda, Daren Liew dan Chong Wei Feng, manakala beregu diketuai Kien Keat-Boon Heong bersama Lim Khim Wah-Goh V Shem, Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong.

Sinar Harian

Tiada ulasan: