12 Jun 2012

Mayat dicampak tepi jalan

22 Rejab 1433H. [MOD] -

PERAI – Keengganan seorang lelaki warga Myanmar menyerahkan wang kepada tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis membawa padah apabila dia ditemui mati berhampiran
tapak pasar malam Taman Nagasari, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.25 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Tunminhlat, 27, dikatakan sedang berjalan kaki bersama seorang rakannya di kawasan berkenaan sebelum dihampiri tiga lelaki bermotosikal.

Lelaki berkenaan kemudiannya memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan mengajak mangsa dan rakannya berbincang mengenai dokumen pengenalan diri.

Kedua-dua mereka kemudiannya dibawa menaiki motosikal suspek ke suatu kawasan gelap untuk berbincang namun rakannya yang mengesyaki sesuatu tidak kena bertindak melarikan
diri dengan terjun dari motosikal dan meninggalkan mangsa berseorangan bersama suspek.

Dalam keadaan gelap, suspek dikatakan meminta sejumlah wang daripada mangsa, bagaimanapun mangsa enggan memberikannya menyebabkan berlakunya pergelutan.

Malang tidak berbau apabila lelaki yang baru dua bulan datang ke sini untuk bekerja itu dibunuh dan mayatnya ditinggalkan di tepi jalan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, terdapat kesan tikaman pada mayat mangsa, selain kepalanya berlumuran darah.

“Siasatan masih dijalankan dan kita sedang berusaha untuk mengesan ketiga-tiga suspek yang melarikan diri dengan menunggang tiga motosikal sejurus selepas kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian

1 ulasan:

Unknown berkata...

damai ke Malaysia...?