12 Jun 2012

Selangor Sedia Bantu Khalid Ismeth Dapatkan Khidmat Guaman

22 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 12 JUN : Kerajaan Negeri Selangor sedia membantu mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khalid Mohd Ismeth sekiranya ingin membuat permohonan berhubung penggantungan pengajiannya selama tiga semester di institusi berkenaan.

Menurut Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar bantuan tersebut merangkumi pelbagai aspek antaranya kewangan dan khidmat guaman.

“Sekiranya ada permohonan daripada Khalid, saya sedia berbincang dengan Exco Kerajaan Negeri yang lain untuk pertimbangkan apa jua bantuan yang diperlukan Khalid termasuk kewangan,” katanya semasa sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Dr Xavier juga mendakwa tindakan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar adalah tidak adil dan berbaur politik serta meminta Khalid membuat rayuan supaya hukuman itu ditarik balik.

Beliau turut mendesak UiTM untuk menarik balik penggantungan penuntut jurusan undang-undang itu dan menasihatkan Sahol supaya memberi tumpuan bagi meningkatkan kedudukan universiti itu daripada kedudukan 601 kepada 100 terbaik di dunia.

“Hanya kerana dia beri komen atas perkara tertentu (ugut polis dalam akaun Facebook miliknya), dia digantung belajar. Ia boleh jejaskan pengajiannya. Biarkan dia habiskan pengajiannya, selepas itu dia boleh berhujah untuk diri sendiri,” katanya.

Tambahnya, sepanjang tahun 2008 hingga 2012, Kerajaan Negeri mengeluarkan pinjaman hampir RM9.7 juta kepada pelajar UiTM melibatkan 1,665 orang, manakala seramai 7,420 pelajar universiti itu mendapat hadiah RM1,000 selepas memasuki IPT berkenaan.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri menyifatkan tindakan penggantungan pengajian Khalid adalah sebagai percubaan pihak berkepentingan yang takut dengan kebangkitan mahasiswa.

Menurutnya, sekiranya penggantungan pengajian Khalid tidak ditarik balik, AMK tidak teragak-agak untuk mendedahkan isu tersebut kepada orang ramai menerusi siri jelajah mahasiswa di seluruh Selangor.

Katanya, siri pertama akan dijalankan di Taman Setia, Jalan Johan Setia, Klang, pada 17 Jun ini.

“Saya ada bukti yang menunjukkan kebanyakan program di UiTM lebih cenderung untuk sokong BN. Malah, ada program motivasi yang diadakan menyatakan, sekiranya BN jatuh pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), UiTM juga akan jatuh. Itu semua tidak benar, malah kami akan pertahankan UiTM,” katanya.

selangorku/-

Tiada ulasan: