12 Jun 2012

Pemberian kepada T’ganu, royalti atau wang ehsan

22 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS meminta Menteri Kewangan menyatakan status pemberian royalti petroleum kepada Negeri Terengganu selepas penarikan balik saman Kerajaan Negeri Terengganu terhadap Petronas dan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

“Adakah pemberian tersebut atas nama royalti petroleum sepertimana sebelum tahun 2000 atau Wang Ehsan,” demikian pertanyaan bagi jawab lisan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada persidangan Dewan Rakyat, pagi ini.

Berikut ialah soalan-soalan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli parlimen PAS di Dewan Rakyat hari ini yang bermula jam 10.00 pagi.

Dr. Che Rosli Che Mat [ Hulu Langat ] minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan statistik kecenderungan remaja khasnya dan rakyat Malaysia amnya yang mungkin boleh diukur daripada lawatan mereka ke Pusat Sains Negara, Pusat Remote Sensing Negara, Agensi Angkasa Negara dan Agensi Nuklear Malaysia atau program anjuran Kementerian sempena promosi Tahun
Sains, Gerakan dan Inovasi.

Nasharudin Mat Isa [ Bachok ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah seseorang pegawai awam berpangkat JUSA "C" atau Gred Khas "C" ke atas dibiarkan "terapung" (float) di perjawatan "JPA Pool" kerana masih tidak disahkan penempatannnya di mana-mana jabatan yang bersesuaian.

Dr. Mohd Hatta Md Ramli [ Kuala Krai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan berapakah jumlah pengundi pos yang berdaftar setakat bulan Jun 2012 di seluruh negara. Bagaimanakah mekanisme yang dibuat SPR atau Kerajaan untuk membuat pengasingan antara anggota tentera dan anggota polis yang telah berdaftar sebagai pengundi pos terdahulu dan sekarang perlu mengundi secara
pengundian awal.

Mohd Firdaus Jaafar [ Jerai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan jumlah permohonan dan jumlah biasiswa yang ditawarkan di bawah Program Ijazah Luar Negara (PILN) bagi tempoh sepuluh tahun terakhir (2002-2011) dan apakah Kerajaan berhasrat menambah lagi jumlah peruntukan tersebut supaya lebih ramai yang boleh melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Salahuddin Ayub [ Kubang Kerian ] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan sejauh manakah penyelesaian berkaitan caj pembangunan yang dikenakan oleh Kerajaan Singapura bagi kawasan tanah yang diterima oleh Perdana Menteri di Marina South dan di Ophir/Rochor berikutan pertukaran tanah Keretapi Tanah
Melayu (KTM) di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands, dan tiga lagi di Bukit Timah.

Dr. Siti Mariah Mahmud [ Kota Raja ] minta PERDANA MENTERI menyatakan sumber kewangan untuk membiayai bayaran 'durian runtuh' sebanyak RM1.68 bilion kepada peneroka Felda. Apakah asas atau formula yang digunakan untuk menentukan jumlah RM15,000 kepada peneroka, isteri dan anak peneroka. Bagaimanakah dan bilakah pembayaran tersebut dapat diselesaikan.

Datuk Mahfuz Omar [ Pokok Sena ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah SPAD telah mengeluarkan kebenaran atau permit bagi van-van pelancong asing daripada Thailand untuk beroperasi mengangkut pelancong di dalam kawasan Malaysia.

Khalid Abdul Samad [ Shah Alam ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan apakah tindakan Kementerian untuk mengatasi masalah kos import daging setelah NFC gagal.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang [ Marang ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan status pemberian royalti petroleum kepada Negeri Terengganu selepas penarikan balik saman Kerajaan Negeri Terengganu terhadap PETRONAS dan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini, adakah pemberian tersebut atas nama royalti petroleum sepertimana sebelum tahun 2000 atau Wang Ehsan.

Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin [ Bukit Gantang ] minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan sepanjang tempoh pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berapakah jumlah pelatih yang meninggal dunia dan mengalami kecacatan kekal semasa dalam tempoh latihan mereka. Berapakah pula jumlah pampasan yang telah pihak Kerajaan keluarkan.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan berapakah penduduk luar bandar yang masih tidak mendapat kemudahan infrastruktur asas berbanding dengan keseluruhan penduduk luar bandar di Malaysia.

DatukTaib Azamudden Md Taib [ Baling ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan statistik kes penyeludupan pendatang asing bagi tahun 2010 dan 2011. Kenapakah statistik meningkat begitu ketara daripada tahun 2010 ke 2011 dan apakah langkah-langkah Kerajaan untuk mengatasinya.

Mohd. Abdul Wahid Endut [ Kuala Terengganu ] minta PERDANA MENTERI menyatakan senarai semua ajaran sesat yang wujud di negara ini khususnya di Terengganu serta jumlah siasatan dan pendakwaan yang telah dilakukan.

Datuk Kamarudin Jaffar [ Tumpat ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan perkembangan terkini cadangan penswastaan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah [ Kota Bharu ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Akta Pilihanraya 1958 dan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 akan dipinda sebelum PRU 13 nanti.

Che Uda Che Nik [ Sik ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan kemampuan server Kementerian bagi ujian PSELT amat perlahan dan kadangkala berlaku “server breakdown” terlalu lama, guru terpaksa mengakses laman web ini. Tempoh yang diberi juga terhad (7 hingga 10 minit sekali) menyebabkan ramai guru gagal melaksanakan program ini. Apakah komen Menteri.

Harakah Daily

Tiada ulasan: