02 Julai 2012

Atlet Sukma terlibat nahas

12 Syaaban 1433H. [MOD] -

KEMAMAN – Seramai 20 pemain hoki Terengganu yang dalam perjalanan ke Kuantan untuk mengadakan latihan sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang, berdepan detik cemas apabila bas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK) yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan.

Kejadian berlaku di Kilometer 166 Jalan Jerangau–Jabor, berhadapan Pejabat Felcra Sungai Pergam, Air Putih, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, bas yang dinaiki kesemua atlet lelaki itu berlanggar dengan sebuah kereta Proton Perdana, mengakibatkan pemandu kereta berumur 34 tahun yang dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu mengalami kecederaan dan patah kaki kanan.

Bagaimanapun, kesemua atlet dan pemandu bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan selamat keluar dari bas. Isteri pemandu kereta terbabit yang berusia 25 tahun dan duduk di kerusi penumpang hadapan juga tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kereta yang dinaiki mereka remuk teruk di bahagian hadapan.

Sinar Harian difahamkan, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta terbabit cuba mengelak dua kenderaan dari arah bertentangan yang memotong dua bas di hadapan. Ia menyebabkan bas itu terbabas masuk ke dalam parit hingga cermin hadapannya tercabut.

Dalam kejadian itu, bas yang membawa atlet hoki lelaki itu sedang berkonvoi bersama sebuah lagi bas SUK yang membawa atlet hoki wanita yang berada di belakang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian itu berkata, pemandu kereta yang cedera dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan lanjut.

Sinar Harian

Tiada ulasan: