02 Julai 2012

Modal besar umpan kaki judi

12 Syaaban 1433H. [MOD] -

PORT DICKSON – Hadiah sehingga RM100,000 yang boleh diperolehi secara tunai menjadi tarikan kepada kaki judi sebuah pusat judi siber di Linggi, dekat sini.

Pusat yang dikesan beroperasi sejak lapan bulan lalu menyediakan wang pertaruhan tinggi, bagaimanapun tidak disimpan di premis berkenaan, sebaliknya akan dihantar menerusi 'penghantar wang' yang dihubungi sebaik saja ada pelanggan menang pertaruhan sehingga mencecah ribuan ringgit.

Menurut sumber, modus operandinya ialah penjaga premis akan menghubungi 'penghantar wang' yang menunggu di lokasi berhampiran bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, jika ada pelanggan berjaya memenangi lebih RM100,000, mereka akan menghentikan permainan kerana premis hanya menyediakan wang pertaruhan sebanyak itu sahaja.

“Setakat ini, difahamkan belum ada pelanggan yang menang pertaruhan sehingga RM100,000," katanya kepada Sinar Harian ketika serbuan di premis berkenaan, malam kelmarin.

Sumber berkata, taruhan RM100,000 itulah yang menggoda kaki judi siber untuk datang ke premis berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Rozi Ithin yang mengetuai serbuan berkata, pusat siber terbabit merupakan salah satu premis diserbu dalam operasi dilancar-kan secara serentak malam kelmarin.

Dalam operasi kira-kira 8 malam itu, seramai 20 pegawai dan anggota MPPD serta lapan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menyertai operasi.

Menurutnya, serbuan dilakukan di tiga lokasi berasingan iaitu Pasir Panjang dan Linggi, selepas pihaknya menjalankan risikan sejak seminggu lalu.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 90 buah set komputer dirampas atas kesalahan beroperasi tanpa lesen. Ia dipercayai telah diubah suai menjadi mesin judi haram," katanya.

Rozi bagaimanapun berkata, ketika serbuan, kesemua premis tidak mempunyai pelanggan kerana dipercayai sudah menghidu kedatangan anggota penguat kuasa.

"Pemilik premis akan dikenakan tindakan di bawah undang-undang kecil Pusat Siber dan Kafe Siber MPPD 2010. Jika sabit kesalahan, denda maksimum RM2,000 boleh dikenakan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: