02 Julai 2012

Maut kerana gagal memotong

12 Syaaban 1433H. [MOD] -

MARANG – Malang! Demikianlah nasib seorang pemuda yang terbunuh dalam keadaan yang mengerikan selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta, berikutan gagal untuk memotong kenderaan yang membelok ke kanan jalan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam di Kampung Macang Lada, Bukit Payong di sini, malam kelmarin, Mohd Sasrizan Muftar, 25, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z dan bekerja sebagai jurukimpal meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa sebelum kejadian sedang dalam perjalanan dari Bukit Payong menuju ke rumahnya di Kampung Paya Resak, gagal memotong sebuah kenderaan jenis Produa MYVI, dipandu Faizal Rahmat, 30, yang membelok ke kanan jalan.

Berikutan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian leher.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, berkata, kes masih dalam siasatan dan akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sinar Harian

Tiada ulasan: