02 Julai 2012

Maut bertembung lori

12 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda maut setelah motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lori dalam satu kemalangan di Kilometer 69 Jalan Kuala Terengganu ke Kampung Raja (berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana), Setiu, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, mangsa, Mohd Muslim Che Muda, 20, dari Kampung Fikri, Setiu, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Setiu akibat cedera parah di kepala.

Menurut sumber, semasa kejadian, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan dari Kampung Raja ke Kuala Terengganu, sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di lokasi, lori yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an dipercayai dalam perjalanan untuk mengambil sayur-sayuran di kawasan berhampiran telah membelok ke kanan, sebelum bertembung dengan motosikal ditunggangi mangsa yang datang arah bertentangan.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu tercampak kira-kira empat meter sebelum dikejarkan ke hospital oleh ahli keluarga yang tiba di lokasi kejadian sebaik dimaklumkan kejadian itu,” katanya.

Jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Setiu untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Setiu, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani, ketika dihubungi, semalam, mengesahkan kejadian dan menjelaskan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berikutan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: