02 Julai 2012

Jatuh dari balkoni tingkat 13

12 Syaaban 1433H. [MOD] -

DAMANSARA – Seorang lelaki ditemui terbaring dan cedera teruk di kepala, dipercayai jatuh dari balkoni tingkat 13, Blok B, Flat Pelangi Damansara, pagi semalam.

Ibu mangsa, Raniamah Manarchutty, 54, berkata, dia tidak pasti bila anaknya, Vijayakumar Subramaniam, 32, keluar dari rumah.

Menurutnya, sebelum kejadian yang berlaku pada jam 11.30 pagi itu, mangsa dilihat sedang tidur.

“Tiba-tiba kecoh jiran beritahu Vijay sudah mati dan jatuh di tingkat bawah,” katanya.

Raniamah berkata, mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan tetap sudah bercerai dengan isterinya.

Katanya, Vijayakumar kini tinggal bersamanya dan anak lelaki mangsa berusia lima tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed menolak spekulasi dan khabar angin mengatakan bahawa mangsa jatuh disebabkan
anggota polis.

Beliau berkata, tiga anggota polis berpakaian biasa kebetulan berada di lokasi kejadian kerana menjalankan tugas kepolisan.

“Anggota polis yang berada di situ tiada kena mengena dengan mangsa yang ditemui maut akibat terjatuh itu,” katanya kepada pemberita, semalam.

Arjunaidi berkata, anggota polis terbabit juga sudah dipanggil untuk memberi keterangan, bagaimanapun pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian tersebut.

Beliau berkata, mangsa sebelum ini mempunyai rekod jenayah dan pernah ditahan polis. Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke
Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Sinar Harian

Tiada ulasan: