02 Julai 2012

Enam kenderaan bertembung

12 Syaaban 1433H. [MOD] -

PARIT BUNTAR - Lebih 50 pengguna jalan raya di kawasan Pekan Baru Parit Buntar terpaksa berhadapan masalah lalu lintas selama lebih sejam setelah enam kenderaan bertembung di simpang tiga Jalan Perusahaan, di sini, lewat petang kelmarin.

Enam kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu adalah empat motosikal, sebuah kereta dan sebuah van.

Saksi kejadian, Mohd Ramdhan Abu Bakar,32, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 petang setelah sebuah kereta jenis Proton Iswara didapati memandu secara melulu di kawasan simpang tiga walaupun lampu isyarat menunjukkan tanda berhenti.

Menurutnya, pemandu kereta itu didapati memandu melawan arus lalu melanggar dan menyeret tiga motosikal hingga ke bahu jalan dari arah bertentangan sehingga menyebabkan tiga penunggangnya mengalami kecederaan parah.

“Sebuah motosikal pula cuba mengelak daripada dilanggar kereta berkenaan, bagaimanapun bertembung pula dengan sebuah van Telekom Malaysia (TM) yang berada jarak lima meter di sebelahnya.

“Melihat keadaan itu, saya lantas menghubungi ambulans dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Parit Buntar dan keempat-empat penunggang motosikal yang cedera dihantar segera ke hospital,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian.

Seorang saksi kejadian, Mohd Zamani Zamri, 29, berkata, pihak bomba terpaksa mengambil masa lebih 15 minit untuk mengeluarkan pemandu kereta berkenaan setelah pintu kenderaan itu tidak boleh dibuka.

Katanya, pemandu berusia lingkungan 20an itu terus dikejarkan ke Hospital Parit Buntar kerana mengalami kecederaan serius di bahagian kaki dan badan.

“Keadaan trafik juga agak sesak disebabkan kejadian itu menjadi tumpuan orang ramai dan hanya setelah sejam selepas itu barulah polis trafik berjaya mengawal keadaan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Parit Buntar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: