04 Julai 2012

Bekalan elektrik terputus punca anak ayam mati

14 Syaaban 1433H. [MOD] -

TAIPING - Penternak ayam milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Gantang di Batu 6, Jalan Kuala Kangsar, di sini kesal apabila bekalan elektrik yang terputus akibat pokok getah tumbang masih tidak dipulihkan.

Bekalan yang terputus lebih 24 jam apabila dua pokok getah tumbang ke atas talian elektrik sekali gus menghalang laluan ke reban ayam terbabit kira-kira jam 4 petang, kelmarin.

Pengurus Pengeluaran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Gantang, Mohd Shah Rezza ketika melawat reban ayam terbabit berkata, sebanyak 16,000 anak ayam berusia dua minggu di reban ayam terbabit memerlukan siraman air melalui pam yang menggunakan elektrik dan memerlukan suhu kepanasan di waktu malam dengan penggunaan mentol.

Katanya, penternakan ayam pedaging sangat sensitif dan memerlukan penjagaan yang rapi bagi mengelakkan ternakan berkenaan mati. “Kami sangat memerlukan bekalan elektrik bagi membolehkan ternakan hidup dan operasi di kawasan reban itu berjalan lancar.

"Tetapi kini (semalam) sudah hampir 24 jam bekalan belum dipulihkan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam. Katanya, kini berpuluhpuluh anak ayam terbabit mati akibat kehausan dan kesejukan.

"Diharap pihak berwajib dapat membaiki segera talian elektrik ini demi kelancaran ternakan ayam ini," katanya.

Sementara itu, Pemandu lori PPK Bukit Gantang, Rosli Salleh berkata, dia sepatutnya menghantar bekalan makanan untuk anak ayam, semalam.

“Tapi kerana pokok getah ini, saya tidak dapat membawa makanan masuk ke kawasan reban ayam,” katanya.

Bagaimanapun tinjauan Sinar Harian pada jam 5 petang semalam mendapati bekalan elektrik ke kawasan itu masih belum dipulihkan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: