04 Julai 2012

Reman suspek palsu ijazah disambung

14 Syaaban 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Polis mendapat perintah mahkamah untuk melanjutkan tempoh reman sehingga esok terhadap tiga individu yang dikaitkan dengan kes memalsukan ijazah Universiti Sains Malaysia (USM).

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Aziana Azib untuk membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut kes itu.

Kesemua suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 2.30 petang sebelum dibawa masuk ke bilik reman mahkamah untuk mendapatkan perintah.

Ketiga-tiganya direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat atau denda.

Tiga hari lalu, tiga individu itu ditahan polis di sebuah rumah di Kampar, Perak kerana disyaki terlibat dengan sindiket pemalsuan ijazah USM.

Suspek terdiri daripada dua wanita berusia 24 dan 25 tahun serta seorang lelaki berusia 26 tahun dipercayai menjual dokumen palsu itu kepada pihak ketiga pada harga tertentu.

Polis turut merampas beberapa peralatan komputer dipercayai digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu berkenaan.

Siasatan awal mendapati antara sijil yang dikeluarkan mereka adalah sijil diploma, sijil ijazah sarjana dan sijil ijazah sarjana muda.

Kelmarin, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Omar Osman berkata, hanya seorang bekas penuntut USM didapati terlibat dengan kegiatan pemalsuan sijil akademik institusi pengajian tinggi itu, manakala dua rakannya bukan pelajar atau mempunyai kaitan dengan universiti tersebut

Sinar Harian

Tiada ulasan: