04 Julai 2012

Skuad hoki lelaki Sukma Selangor diundi dalam Kumpulan A

14 Syaaban 1433H. [MOD] -

KLANG - Pemain skuad hoki lelaki Selangor digesa memberi komitmen dan disiplin tinggi menjelang saingan Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Ke-15 di Kuantan, Pahang.

Presiden Persatuan Hoki Selangor, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, beliau bangga dengan dedikasi dan disiplin tinggi dalam kalangan pemain walaupun persiapan pasukan menghadapi beberapa masalah.

Menurutnya, antara cabaran dihadapi adalah masalah kawasan latihan berikutan keadaan stadium hoki di Selangor berada dalam keadaan kurang memuaskan.

“Biarpun kita menghadapi masalah kekurangan infrastruktur sukan hoki, namun tidak menghalang keazaman pengurusan dan pemain untuk memberikan yang terbaik pada Sukma di Pahang.

“Untuk itu, kami memilih menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil dan padang hoki Kementerian

Pelajaran di Lembah Pantai sebagai venue latihan,” katanya selepas pertemuan dengan pemain dan pegawai hoki Sukma Selangor anjuran PHS dan Westports (M) Sdn Bhd, Pulau Indah, baru-baru ini.

Subahan juga memuji Westports (M) Sdn Bhd kerana tampil memberi sokongan terhadap program pembangunan sukan hoki di negeri ini.

Katanya, beliau berharap lebih banyak lagi sektor korporat akan tampil membantu dalam membangunkan sukan pada peringkat akar umbi.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Hoki Sukma Selangor, Mohd Azlan Abdul Aziz berkata, pihaknya tetap yakin Selangor mampu memberikan saingan walaupun diundi bersama pasukan hebat.

“Pemain yang mewakili skuad hoki Sukma Selangor kali ini bangga kerana terpilih mengalas cabaran untuk Selangor.

“Pada edisi Sukma Ke-15 kali ini, kami akan memberi fokus setiap perlawanan dan meletakan sasaran untuk mara ke separuh akhir,” katanya. Selangor diundi dalam Kumpulan A bersama Wilayah Persekutuan, Perak, Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: