04 Julai 2012

Mayat tergantung di jeti Bukit Kepong

14 Syaaban 1433H. [MOD] -

MUAR - Seorang lelaki ditemui mati tergantung di sebuah jeti di Bukit Kepong berhampiran jambatan Durian Condong, Ledang, dekat sini, semalam.

Mangsa, Tan Inn Seng, 57, yang masih bujang ditemui kira-kira jam 8 pagi oleh seorang pekebun yang kebetulan melalui tempat kejadian untuk pergi ke kebunnya.

Abang mangsa yang enggan dikenali berkata, adiknya kelihatan murung sejak beberapa minggu lalu dan kali terakhir mereka bertemu pada Ahad lalu.

Menurutnya, dalam pertemuan tersebut, dia mengesyaki Inn Seng menghidap penyakit kerana tubuh badannya menunjukkan perubahan sangat ketara. “Namun, apabila ditanya keadaannya itu, Inn Seng hanya mendiamkan diri dan mengubah topik perbualan kami.

“Selama ini Inn Seng langsung tidak beritahu masalah dihadapinya dan saya terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada penduduk kampung pada jam 8.30 pagi, mengatakan dia (Inn Seng) ditemui mati tergantung di jeti,” katanya.

Menurutnya, di tempat kejadian, dia sekali lagi terkejut apabila menemui sepucuk surat yang dipercayai ditulis sendiri oleh Inn Seng mengatakan tertekan dengan penyakit kanser usus dihidapinya. Katanya, dia diberitahu oleh beberapa penduduk kampung bahawa Inn Seng agak tertekan apabila dua rakannya meninggal dunia kerana menderita akibat penyakit kanser.

“Saya rasa perkara ini membuatkan Inn Seng runsing, meskipun keputusan pemeriksaan perubatan ke atasnya hanya diketahui pada 16 Julai ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan insiden tersebut.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Kematian mangsa tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: