04 Julai 2012

Kegiatan tipu Internet tumpas

14 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Pergerakan licik Awang Hitam yang menjadikan kondominium dan apartment sebagai pusat kegiatan penipuan melalui Internet digempur polis, awal pagi semalam.

Dalam dua operasi berasingan di Petaling Jaya dan Puchong pada jam 11.30 malam itu, sebahagian daripada warga asing yang ditahan itu dipercayai terlibat dalam jenayah penipuan Internet.

Seramai 38 warga asing termasuk enam wanita tempatan yang dipercayai bersubahat dengan sindiket berkenaan ditahan.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, 26 daripada mereka terlibat dengan jenayah komersial, tiga berkaitan kes dadah dan 15 lagi membabitkan kesalahan imigresen.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan itu berusia 20 hingga 35 tahun terdiri daripada warga Nigeria, Cameroon, Somalia, Sierra Leone yang didapati memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar.

Tun Hisan berkata, turut dirampas semasa operasi lapan buku akaun bank milik dua wanita tempatan, mereka ditahan bersama tiga lelaki warga Afrika dalam sebuah rumah.

Katanya, modus operandi sindiket berkenaan adalah mereka akan memperdaya wanita tampatan dengan menyamar sebagai jejaka kacak melalui laman sosial di Internet “Wanita yang diperdaya itu dihubungi oleh anggota sindiket warga tempatan yang menyamar sebagai
pegawai kastam dan meminta supaya mereka mendepositkan sejumlah wang bagi mendapatkan bungkusan yang mengandungi wangatau hadiah kiriman kekasih mereka,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian akan mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun tertentu yang dimiliki oleh rakyat tempatan dan warga asing bagi mendapatkan bungkusan kiriman ‘kekasih’ mereka.

Operasi itu turut mendapat kerjasama Jabatan Imigresen, Tourism Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Tun Hisan berkata, dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, 103 laporan mengenai penipuan menggunakan modus operandi sama melibatkan kerugian RM9.28 juta dan transaksi terbesar berjumlah RM150,000.

“Pada tahun lalu, 208 kes penipuan menggunakan modus operandi sama dilaporkan,“ katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: