18 Julai 2012

[BINGAI] RM28 Juta Untuk 2 Ekor Panda, Kan Lebih Baik Naiktarafkan Zoo Yang Ada?

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

Kerajaan tidak perlu membazir puluhan juta ringgit semata-mata membawa masuk dua ekor panda dari China sebaliknya menggunakan dana itu untuk menaik taraf zoo.

Presiden Persatuan Kebajikan Haiwan Malaysia, Shenaaz Khan berkata, zoo di Malaysia masih banyak kekurangan akibat peruntukan terhad dan kebanyakan beroperasi mengguna dana sendiri.

“Kita lihat saja di Zoo Negara dan Zoo Melaka. Keadaannya begitu kritikal disebabkan kerajaan tidak memberi perhatian serius. Sepatutnya zoo-zoo inilah yang perlu diberi peruntukan bukan untuk panda,” katanya ketika dihubungi.

Bulan lalu, Malaysia dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China menandatangani memorandum Persefahaman (Mou) untuk meminjam sepasang panda dari republik itu selama 10 tahun.

16 Julai lalu, akhbar melaporkan Perbadanan Putrajaya (PPj) yakin kos lebih RM25 juta bagi menyediakan prasarana pasangan panda itu, akan membawa pulangan.

Mengulas lanjut, Shenaaz turut menempelak kerajaan kononnya mahu mengatasi kepupusan panda sedangkan tujuan sebaliknya mengaut keuntungan yang belum pasti.

Beliau berkata, jika kerajaan serius mewujudkan program konservasi, ia boleh dilakukan terhadap haiwan di negara ini yang semakin diancam kepupusan.

“Kita ada banyak haiwan-haiwan yang diancam kepupusan. Sebagai contoh beruang dan harimau. Mengapa kerajaan tidak memberi dana untuk program-program sedemikian sedangkan haiwan ini berasal daripada negara kita,” katanya. -KD

Tiada ulasan: