18 Julai 2012

Step in: Semua kakitangan Syabas kekal

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor memberi jaminan, semua kakitangan Syabas dikekalkan kecuali pengurusan kanan Syabas apabila proses ‘Step-In’ (campur tangan) kerajaan negeri Selangor ke dalamnya.

Exco kerajaan negeri, Dr Xevier Jayakumar membuat pengumuman itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini bagi pihak kerajaan negeri Selangor berikutan pengumuman sebelum ini oleh Menteri Besar.

Ia lanjutan kepada pengumuman Menteri Besar Selangor yang menggunakan kuasa di bawah klausa 32 perjanjian konsesi air untuk ‘step in’ dalam memantau perkhidmatan operasi Syabas baru-baru ini.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan kerajaan negeri Selangor akan 'step in' ke dalam Syabas berikutan pengumuman Syabas mahu mencatu air di negeri itu.

Ini kerana, langkah itu tidak wajar berikutan semua empangan air yang ada di negeri itu penuh.

"Semua kakitangan Syabas dibawah kategori teknikal dan kakitangan serta pegawai pengurusan dan pentadbiran peringkat pertengahan akan dikekalkan manakala pegawai-pegawai di peringkat pengurusan kanan akan dirombak semula.

"Jadi kita harap kakitangan Syabas yang banyak pengalaman serta berdedikasi kepada syarikat agar tidak berasa cemas terhadap masa depan mereka dalam proses ‘step-in’ Kerajaan Negeri tidak berapa lama lagi," kata Xevier dalam kenyataannya.

Kerajaan Negeri, kata Xevier membidas saranan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana agar Kerajaan Negeri Selangor perlu mengemukakan rancangan dan pelan mereka untuk menguruskan bekalan air di negeri itu, jika berhasrat mahu mengambil alih peranan itu daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) seperti yang disiarkan oleh beberapa media perdana pada hari ini.

Kerajaan negeri, katanya, curiga dengan tindakan beliau sebagai orang nombor dua negara dan juga seorang penjawat awam yang bercakap menyebelahi Syabas sebuah syarikat yang berpaksikan keuntungan komersial, mendahului kepentingan syarikat dan pemegang-pemegang sahamnya sahaja.

Dalam kata lain Muhyuddin lebih mengutamakan keuntungan sebuah syarikat melebihi kepentingan lebih 5.7 juta orang rakyat Selangor yang menggunakan air untuk keperluan harian mereka, dakwa Xevier.

Sepatutnya, dakwa beliau, Muhyiddin menyokong usaha-usaha Kerajaan Negeri yang dipilih oleh majoriti rakyat Selangor dan bukannya kepentingan sebuah syarikat semata-mata.

"Kita juga ingin menegaskan disini bahawa Syabas tidak mempunyai sebarang kuasa (authority) untuk mencadang atau mengumumkan sebarang bentuk program catuan air (water ration) kerana Syabas tidak diperuntukan kuasa tersebut di dalam perjanjian konsesi air tersebut mahupun dari segi obligasi moral kepada rakyat Selangor.

"Hanya Kerajaan Negeri diberikan kuasa mengumumkan catuan air, itupun hanya dibenarkan dalam situasi kecemasan dan darurat setelah dibawa dalam mesyuarat Majlis Gerakan Negeri (Mageran)," tegasnya.

Beliau juga menyarankan Syabas agar berhenti membuat kenyataan mengenai apa-apa catuan air kerana Syabas dilihat berlagak umpama sebuah parti politik.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: